Pelakon Hanez Suraya Saman MAS

Shah Alam – Pelakon Hanez Suraya dan teman lelakinya memfailkan saman terhadap Malaysia Airlines System Bhd (MAS), kerana mendakwa petugas syarikat penerbangan itu menyebarkan keratan tiket penerbangan mereka ke Bangkok, Thailand di laman sosial.

Hanez Suraya, atau nama penuhnya Hanez Suraya Abdul Aziz, 29 tahun dan Romie Razin Adilha Abd Jais, 34 tahun, memfailkan writ saman itu melalui sistem e-Filing Mahkamah Tinggi menerusi firma guaman Tetuan Harjit Sandhu.

Dalam penyataan tuntutannya, pelakon yang memegang watak antagonis dalam drama bersiri ‘Love You Mr Arrogant’ itu berkata, pada 20 April lalu, dia dan Romie menggunakan perkhidmatan MAS ke Bangkok dan berlepas dari pintu G8 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di Sepang, dengan pesawat MH0788.

Hanez Suraya mendakwa sebelum menaiki pesawat itu, dia dan Romie menyerahkan tiket mereka kepada tiga petugas di pintu G8 yang memakai pakaian seragam defendan.

Beberapa jam selepas mendarat di Bangkok, Hanez Suraya dan Romie dimaklumkan bahawa keratan tiket penerbangan mereka telahpun dimuat naik ke suatu akaun Facebook dikenali sebagai ‘Kami Sokong Liyana Manan’.

Dia dan teman lelakinya kemudian memeriksa akaun itu dan mendapati, ada lebih 1,000 komen negatif berunsur cemuhan serta cacian terhadap mereka.

Sehubungan itu, plaintif mendakwa, tindakan MAS dan petugasnya mendedahkan keratan tiket penerbangan berkenaan di laman sosial adalah tidak beretika serta melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) 2010.

Pelakon itu berkata, dia dan Romie, melalui peguam mereka menghantar surat, pada 21 April lalu, yang antara lain, meminta penjelasan defendan serta ganti rugi bagi perlanggaran APDP, selain bertemu pegawai MAS dan dimaklumkan defendan memerlukan sedikit masa untuk menyiasat perkara berkenaan.

Pada 29 April lalu, plaintif mendakwa, mereka menerima surat daripada pihak MAS meminta salinan tiket penerbangan itu diserahkan kepada defendan untuk tindakan lanjut dan permintaan itu dipenuhi hari berikutnya.

Pada 8 Mei lalu, pelakon itu dan teman lelakinya melalui peguam mereka menghantar surat kepada MAS memberi tempoh sehingga 12 Mei berhubung perkara berkenaan, namun sehingga kini mereka masih tidak menerima sebarang jawapan.

Hanez Suraya dan Romie mendakwa, akibat perbuatan tidak beretika dan tidak bertanggungjawab pihak MAS, menyebabkan mereka mengalami gangguan dan tekanan emosi.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan untuk ditaksir oleh mahkamah, faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh saman difail sehingga penyelesaian penuh, kos dan perintah serta relif lain yang dianggap wajar.

Hanez Suraya ketika ditemui pemberita berkata, tindakan saman diambil kerana penyebaran keratan tiket penerbangan itu mengganggu pergerakan hariannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.