Miera Liyana Tunggu Kekasih Baru

Setelah beberapa lama tidak mempunyai kekasih, pelakon muda Miera Liyana mengakui hatinya terdetik mahu menjalin cinta semula. Namun kata gadis berusia 21 tahun ini, setakat ini dia belum bertemu dengan lelaki yang betul-betul sesuai untuk dijadikan teman lelaki.

“Masih solo. Belum ada lagi… (teman lelaki). Sebenarnya memang saya teringin nak bercinta tapi belum ada calon yang sesuai”, kata Miera Liyana ringkas sambil tergelak.

Miera ditemui ketika sidang media rombongan artis popular bersama penerbangan Air France keempat ke Paris tajaan Rafflesia, bertempat di hotel Park Royal, Kuala Lumpur semalam.

Pelakon drama ‘Kusinero Cinta’ ini berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus dia kononnya sudah punya kekasih baru yang dikenali sebagai Hussein.

Gosip itu timbul apabila Miera baru-baru ini memuat naik gambar dia bersama lelaki tersebut. Tambahan, Miera ada menulis ayat “I miss you” (saya rindu awak) dan ditujukan kepada jejaka berkenaan di laman Twitter miliknya. Kemudian Hussein membalas dengan menulis “I miss you too (saya rindu awak juga).

Mengulas mengenai perkara itu Miera berkata dia dan Hussein adalah kawan lama sejak mereka di bangku sekolah lagi. Sebelum ini mereka terpisah kerana temannya itu melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Dia tu sebenarnya kawan lama saya. Kami kenal sejak darjah satu lagi. Tapi bila habis tingkatan 5 dia sambung belajar ke Melbourne, Australia dalam jurusan perniagaan. Tapi sekarang dia dah balik ke sini.

“Tentang mesej “I miss you” tu, ala biasa lah (gelak). Tapi kami memang tiada apa-apa pun. Hanya kawan sekolah.

“Saya berkawan dengan ramai orang. Saya ada geng kawan-kawan masa sekolah dan geng kawan-kawan masa kerja. Lagipun geng sekolah saya memang tak bagi kami bercinta. Sebab kalau misalnya kami bergaduh, nanti kawan-kawan lain juga terpaksa berpecah, separuh lepak dengan saya separuh lagi lepak dengan dia. Kami tak nak macam tu, susah nanti”, tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Miera baru saja selesai menjalani penggambaran drama 60 episod, berjudul ‘Kusinero Cinta’. Drama tersebut turut menampilkan barisan pelakon hebat selaku teraju utama iaitu, Aaron Aziz, Tiz Zaqyah dan aktor kelahiran Filipina, JJericho Rosales.

Selain itu, Miera bakal ke Barcelona dengan penerbangan Air France anjuran Rafflesia pada 23 Jun hingga 30 Jun 2014. Rombongan tersebut juga disertai empat lagi artis popular iaitu Fizo Omar, Tasha Shila, Hairul Azreen dan Kamal Adli.

Sepanjang lapan hari di sana, lima artis ini bebas melakukan aktiviti masing-masing sambil bertanggungjawab mempromosikan tempat-tempat menarik yang mereka kunjungi menerusi laman Twitter, Facebook dan juga Instagram masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.