Menagih Dadah Pada Usia 72 Tahun

KOTA BHARU – Seorang warga emas yang juga bekerja sebagai penebang balak didenda RM1,000 oleh mahkamah majistret, di sini, semalam selepas mengaku salah menagih dadah pada usia 72 tahun.

Nik Lah Awang dari Kampung Setek Ketereh, di sini, mengaku salah atas tuduhan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia didakwa memberikan kepada dirinya sendiri dadah jenis metamphetamine dan amphetamine di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, pada jam 6.30 petang, 24 Ogos tahun lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad.

Nik Habri ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, jumlah denda yang rendah itu diputuskan bukan dorongan kepada tertuduh untuk mengulangi kesilapan itu, sebaliknya motivasi supaya tertuduh berhenti daripada tabiat tersebut.

“Berhentilah, malulah kalau orang tengok dah tua pun keluar masuk lokap. Apa-apa sahaja alasan kamu, mengambil dadah tetap menjadi satu kesalahan. Sama ada untuk jadi gagah atau suka-suka sekalipun tetap salah kecuali untuk tujuan perubatan.

“Cukuplah, tidak sesuai dengan umur kamu dan bagi kepada orang-orang muda sudahlah,” katanya.

Tertuduh melalui peguam bela, Faizal Abd Rahman sebelum itu merayu hukuman dikurangkan dengan alasan menggunakan dadah itu untuk melaksanakan kerjanya sebagai penebang balak.

“Tertuduh insaf dengan kesilapannya dan berjanji tidak akan mengulangi lagi lebih-lebih lagi dengan usia yang mencecah 72 tahun,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara empat bulan berkuat kuasa serta-merta jika denda gagal dijelaskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.