Ku Nan Mahu Pemuda Umno Beri Penjelasan

Teluk Intan – Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mahu penjelasan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan susulan daripada perbuatan mencetuskan kekecohan di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur, semalam.

Setiausaha Agung Umno itu berkata, tindakan Pemuda Umno itu jelas tidak beretika dan tindakan tegas akan diambil.

“Kami akan tanya kepada mereka kenapa mereka lakukan perkara yang tidak beretika itu. Kita mahukan negara yang aman.

“Bagi saya sesiapa yang mengadakan protes, negara ini mempunyai undang-undang, biar polis uruskan,” katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Operasi Gerakan hari ini.

Semalam, media melaporkan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan mengancam untuk membakar ibu pejabat DAP jika ada wakil rakyatnya menghina Umno sekali lagi.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Mohd Rafii memberi amaran kepada DAP penghinaan seterusnya akan mengundang padah, lapor Malaysiakini.

Kira-kira 50 ahli Pemuda Umno Wilayah Persekutuan mengadakan bantahan di luar ibu pejabat DAP Kuala Lumpur kerana membantah kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Seri Delima, RSN Rayer yang berkata “Umno celaka”.

Tengku Adnan berkata, Umno juga tidak akan membiarkan sayap Pemuda terlepas daripada tindakan disiplin parti jika jelas mereka melanggar Perlembagaan Umno.

“Jika melanggar peraturan parti, sudah tentu kami akan ambil tindakan. Saya tidak tahu (kejadian itu) kerana saya di luar kawasan.

“Kita serah kepada polis. Jika Pemuda Umno buat kesilapan, biar polis ambil tindakan,” katanya.

Bagaimanapun, menteri Wilayah Persekutuan itu tidak meletakkan kesalahan 100% kepada Pemuda Umno tetapi individu yang mencetuskan ketegangan itu.

Katanya, pembangkang menggunakan peluang sebagai wakil rakyat untuk berkata sesuka hati apabila berhujah di dalam Dewan Undangan Negeri.

“Kita faham puak pembangkang akan gunakan imunitinya di dalam Dewan. Dia akan cakap apa benda dia hendak cakap.

“Biar dia nak cakap, kita tahu mereka ini bukannya siuman. Fikiran mereka tidak stabil. Biarkan apa yang mereka mahu lakukan,” katanya.

Tengku Adnan berkata, apa yang penting adalah penilaian rakyat terhadap kejadian itu kerana selama ini yang sering membuat onar adalah pembangkang.

Katanya, sebagai parti pemerintah, apa yang menjadi kepentingan adalah berkhidmat kepada rakyat dan memberikan fokus kepada kempen pilihan raya kecil yang sedang berlangsung.

“Kami tak kisah. Nak panggil apa, panggillah. Asalkan rakyat tahu kami sebuah parti yang akan melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan membantu rakyat.

“Yang melakukannya adalah pembangkang. Mereka pergi ke jalanan. Menghasut rakyat. Ini kerja pembangkang bukannya kerajaan,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media pagi ini, Gerakan turut mengecam tindakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan tersebut kerana mencemarkan nama baik Barisan Nasional.

Naib Presiden parti, Dr Dominic Lau, berkata perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada polis bagi membolehkan siasatan lebih terperinci dilakukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.