Keluarga Hidup Dalam Daif Dapat perhatian Umno

KOTA BHARU 22 Mei – Keluarga pasangan tukang urut tradisional, Jaafar Ibrahim dan Che Mas Awang hidup dalam keadaan serba daif apabila terpaksa tinggal di sebuah rumah usang yang sempit di Kampung Penambang, di sini sejak lima tahun lalu.

Selain perlu tidur berhimpit dalam sebuah bilik, keselamatan Jaafar, isteri dan enam anak mereka turut terancam apabila dinding serta lantai rumah yang didiami mereka itu sudah reput dimakan anai-anai.

Jika hujan, atap rumah yang bocor di sana-sini menyebabkan enam beranak tersebut terpaksa tidur dalam keadaan basah dan kesejukan.

Kehidupan mereka sekeluarga juga semakin terhimpit apabila me­nerima notis supaya segera menjelaskan bayaran tunggakan sewa tapak tanah rumah sebanyak RM700 yang gagal dilunaskan sejak setahun lalu.

Jaafar, 70, memberitahu, sejak kebelakangan ini, dia yang sering uzur mula hilang punca pendapatan kerana tidak lagi mampu mengurut pelanggan manakala isterinya, Che Mas, 60 tahun tidak mampu bekerja sendirian kerana cacat penglihatan.

“Lima daripada anak kami be­kerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu manakala anak bongsu yang berusia 11 tahun masih bersekolah.

“Kami sekeluarga sekarang bergantung hidup dengan wang yang dihulurkan anak-anak.

“Kalau makan pun tidak cukup, mustahil kami dapat menggunakan wang tersebut untuk membaiki rumah dan membayar sewa tanah,” katanya

Nasib Jaafar sekeluarga yang serba daif itu mendapat perhatian Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang meluangkan masa menziarahi dan mendengar keluhan mereka di sini semalam.

Rombongan Abdul Azeez di­iringi Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Zaluzi Sulaiman.

Sementara itu, Abdul Azeez yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji memberi jaminan akan mencari jalan bagi membantu membaiki taraf hidup Jaafar sekeluarga.

“Kita telah meninjau keadaan rumah Jaafar selain meneliti tunggakan hutang yang ditanggung mereka.

“Kita akan segera mencari jalan penyelesaian bagi memastikan keluarga ini mendapat kediaman yang lebih baik,” katanya yang turut melawat 10 keluarga daif lain di sekitar kawasan Parlimen Pengkalan Chepa.

Menurut Abdul Azeez, lawatan beliau kali ini merupakan sebahagian daripada program turun padang dan menjelajah seluruh kawasan termasuk kubu kuat pembangkang bagi mengumpul maklumat untuk membantu golongan miskin.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.