Guru Besar Enggan Ditemu Bual

SHAH ALAM – Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 di sini, enggan memberi sebarang komen berhubung kemalangan bas membabitkan murid dan guru sekolah berkenaan.

Seorang kakitangan sekolah yang enggan disiarkan namanya berkata, pihak sekolah sudah menyerahkan laporan berkaitan lawatan termasuk maklumat murid dan guru kepada Jabatan Pelajaran Selangor untuk tindakan lanjut.

“Buat masa ini, dia (guru besar) tidak mahu diganggu kerana masih terkejut dengan kejadian dan perlu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan insiden.

Beliau berkata, ibu bapa kesemua mangsa terlibat sudah dimaklumkan tentang kejadian yang berlaku.

“Ada yang hubungi pihak sekolah dan ada juga yang mendapat tahu berita malang itu selepas dihubungi sendiri oleh anak mereka dari sana (Australia).

Tinjauan Sinar Harian di sekolah berkenaan mendapati proses pembelajaran berjalan seperti biasa, namun tidak kelihatan keluarga mangsa.

Kebanyakan ibu bapa datang untuk menghantar atau menjemput anak mereka pulang dari sekolah.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Selangor, Datuk Mahmud Karim berkata semua murid dan guru terlibat selamat.

Mahmud berkata, murid dan guru berkenaan sudah menghubungi waris masing-masing dan akan terus menghadiri persidangan berkenaan sehingga selesai.

Pihaknya berterima kasih kepada kedutaan Malaysia di Australia dan juga kerajaan Australia yang memberi bantuan segera.

“Saya bersyukur semua murid dan guru selamat dan mereka dijangka pulang ke tanah air 25 Mei ini,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.