KUANTAN – Tindakan merampas atau melucut hak terhadap pemilik tanah yang gagal membayar cukai tanah di Pahang dilaksanakan mengikut prosedur sedia ada, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau menjelaskan bahawa sebelum tindakan rampasan dibuat, pemilik tanah akan diberikan notis terlebih dahulu bagi membolehkan mereka melunaskan tunggakan yang ada.
“Tanah kalau tak bayar cukai pun kita rampas, tetapi bagi notis dahulu. Maknanya prosedur dan peraturan ditetapkan kita patuhi,” katanya ketika sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.
Menurut Wan Rosdy, sehingga kini sebanyak 1,082 hak milik tanah di seluruh negeri telah dilucut hak oleh pentadbir tanah, melibatkan kutipan hasil penalti melebihi RM1.4 juta.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Mohd Fadzli Mohd Ramly (Adun Lantikan) yang bertanyakan jumlah hak milik tanah yang telah dirampas akibat kegagalan membayar cukai tanah serta nilai penalti yang diperoleh kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy menegaskan bahawa kerajaan negeri tetap mengamalkan pendekatan berhemah dengan membuka ruang untuk pemilik tanah berunding dengan pentadbir tanah sekiranya timbul sebarang isu.
“Kerajaan negeri tidak sewenang-wenangnya membatalkan hak milik atau menyerahkannya kepada orang lain. Jika ada isu berbangkit, pemilik boleh berunding,” jelas beliau.
Wan Rosdy juga menekankan pentingnya semua pemilik tanah mematuhi kewajipan membayar cukai tanah demi memastikan kelangsungan hasil negeri dan pembangunan di Pahang dapat diteruskan.