Nozula Terkilan Digugurkan Namun Terima Keputusan, Tetap Setia Dengan UMNO

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Kelantan, Datuk Nozula Mat Diah mengakui terkilan namanya digugurkan dari senarai calon Barisan Nasional (BN) namun tetap menerima secara terbuka keputusan pucuk pimpinan parti.

Wakil rakyat yang telah berkhidmat di kawasan tersebut selama 28 tahun sejak 1990 itu berkata, cuma yang dikesalinya keputusan berkenaan dilakukan tanpa terlebih dahulu berbincang dengannya.

“Saya agak terkilan apabila tidak dimaklumkan lebih awal oleh pimpinan parti bahawa saya tidak dicalonkan.

“Sekurang-kurangnya mereka datang berbisik sesuatu kepada saya, (Namun) saya terima keputusan yang dibuat pimpinan atasan,” katanya dipetik dari laporan Malaysiakini dan Utusan.

Nozula mengakui kemungkinan faktor kesihatan menjadi sebab utama pertimbangan keputusan parti menggugurkannya bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Beliau turut menyatakan kesediaannya memberi penjelasan kepada penyokong dan jentera parti susulan penggugurannya sebagai calon di kerusi berkenaan.

“Ku Li sepatutnya memberitahu perkara itu lebih awal kepada saya supaya dapat diperjelaskan pula kepada penyokong yang sudah bersedia mengerakkan jentera menghadapi PRU14.

“Tetapi saya tetap turun bekerja ke sana ke mari, kalau tahu lebih awal saya mungkin ambil pendekatan lain dan saya tetap menjaga rakyat,” ujarnya sambil menegaskan komitmennya untuk tetap setia dan terus menyokong perjuangan UMNO dan BN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.