‘Kami Serius Tapi Tak Gelojoh’

KUALA LUMPUR: ‘Iya… Kami serius’. Begitulah penjelasan Zara Zya mengenai hubungan intim dengan Hafreez Adam yang disifatkannya berada pada tahap serius.

Namun, Zara dan Hafreez enggan terburu-buru, sebaliknya mahu mengambil lebih banyak masa mengenali hati budi masing-masing.

“Saya faham, ramai peminat mahu kami cepat-cepat kahwin. Tetapi saya dan Hafreez tidak mahu tergesa-gesa.

“Walaupun sudah saling mengenali sejak empat tahun lalu, tetapi baru sekarang kami betul-betul rapat.

“Itupun saya baru mengenali perangai Hafreez daripada sudut luaran saja. Saya belum kenal dirinya dengan lebih mendalam,” kata Zara kepada BH Online.

Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 33, mula rapat dengan Hafreez, 28, sejak digandingkan dalam drama 80 episod, Monalisa, kira-kira lapan bulan lalu.

Dalam drama itu, Zara melakonkan watak Melissa dan Hafreez menghidupkan karakter Cef Adam Hakim.

Mengenai perbezaan usia lima tahun, Zara mengaku tidak merasa apa-apa apatah lagi mereka sangat bersahaja.

“Apabila bersama Hafreez, saya tak rasa pun lebih tua. Tak semua lelaki mampu membuatkan saya selesa. Dengan dia, saya jadi diri sendiri.

“Mungkin disebabkan perangai yang periang dan suka mengusik, kami serasi. Namun, Hafreez matang dan mengambil berat. Paling penting, kami sefahaman,” katanya.

Dalam berterus-terang mengenai hubungannya dengan Hafreez, Zara mengaku takut berpasangan dengan anak seni seperti dirinya.

“Kita tahu bagaimana padat jadual pelakon… Hendak cuti pun susah. Bagaimana mahu keluar kalau hendak dapat cuti pun sukar? Kami kerap berjumpa isebabkan berlakon dalam drama sama.

“Tapi kalau saya tak cuba, saya tak tahu. Jadi, saya doakan yang terbaik untuk hubungan kami. Saya harap orang di luar pun mendoakan yang baik-baik untuk saya dan Hafreez,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zara baru muncul dengan single sulung berjudul Tiada Dendam ciptaan bersama Lieynur Liey dan Fauzi Aisunam dengan lirik nukilan Iman Imran.-BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.