Azmin Lebih Layak Dari Wan Azizah Untuk Pilih Calon PKR Di Selangor, Kata Johari Abdul

PETALING JAYA – Datuk Johari Abdul terkejut Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak nama calon yang disyorkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengatakan menteri besar lebih faham calon yang “lebih layak” bertanding di Selangor.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu sama sekali tidak menjangkakan Wan Azizah akan bertindak sebegitu, walaupun beliau selaku presiden mempunyai kuasa mutlak dalam soal pemilihan calon.

“Saya difahamkan pemilihan calon-calon Selangor itu dilakukan oleh Azmin sendiri. Saya rasa dia mempunyai kelebihan kerana beliau yang lebih faham siapakah calon yang lebih layak,” katanya selepas sidang media di Ibu Pejabat PPBM hari ini.

Beliau bagaimanapun mengakui dia tidak mempunyai maklumat secukupnya tentang isu calon di Selangor.

“Saya tidak jangka presiden menolak semua nama-nama yang dikemukakan, mungkin ada 1-2 orang (tidak ditolak). Kuasa mutlak di tangan presiden. Tetapi saya nak jelaskan saya tidak ada maklumat,” kata Johari.

Beliau diminta mengulas laporan media mengatakan Wan Azizah menolak beberapa calon yang disyorkan Azmin, dikatakan Yaakob Sapari bagi DUN Kota Anggerik, Haniza Mohamed Talha (DUN Taman Medan), Gan Pei Nei (DUN Rawang), Mohd Razlan Jalaluddin (Kota Damansara) dan Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia).

Hilman adalah pegawai khas kepada Azmin.

Sementara itu, Johari mengesahkan ada ketegangan dalam perbincangan kumpulan aplikasi WhatsApp PKR berhubung isu calon di Selangor.

“Sebenarnya tidak masuk akal sebab sebenarnya Azmin lebih tahu siapakah calon dan dikemukakan lebih awal,” katanya tanpa mahu mendedahkan individu yang berbalah. – Fmt

2 thoughts on “Azmin Lebih Layak Dari Wan Azizah Untuk Pilih Calon PKR Di Selangor, Kata Johari Abdul

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.