Tersalah Lapor, Wartawan Malaysiakini ‘Cabut Lari’ Dari Sarawak

KUCHING – Seorang wartawan portal Malaysiakini telah dipanggil pulang ke Kuala Lumpur susulan laporan berita yang didakwa telah membangkitkan sentimen keagamaan di negeri ini.

 

Menurut sumber yang memberitahu SuaraTV, pihak Editorial Malaysiakini telah meminta wartawannya, Kow Gah Chie untuk keluar dari Sarawak atas faktor keselamatan.

 

“Saya difahamkan Gah Chie telah berlepas pulang petang tadi, dia dipanggil balik atas faktor keselamatan kerana menulis berita yang didakwa memfitnah calon DUN Nangka.

 

“Berita yang dikatakan memfitnah kenyataan calon tersebut telah menyebabkan rakyat Sarawak marah malah beberapa laporan (polis) turut dibuat ke atasnya,” katanya sebentar tadi.

 

Sumber yang sama juga memaklumkan wartawan terbabit pulang dengan menaiki penerbangan Air Asia.

 

Sehingga kini sekurang-kurangnya dua laporan polis dibuat ke atas wartawan berkenaan.

 

Wartawan itu sebelum ini menulis berita bertajuk ‘Undi BN untuk pastikan umat Islam jadi KM Sarawak’ yang dipetik di luar konteks dari ucapan ADUN Nangka, Dr Annuar Rapa’ee telah menyebabkan timbulnya kekeliruan ramai.

 

Dr Annuar sebelum ini menafikan berucap demikian dan menyifatkan laporan tersebut sebagai putar belit dengan tujuan menimbulkan sentimen keagamaan di kalangan rakyat Sarawak.

 

“Saya tidak pernah sebut itu. Semuanya fitnah dan putar belit wartawan Malaysiakini itu.

 

“Saya hanya berkata, undi BN untuk kekalkan Adenan Satem,” tegas Dr Annuar Rapa’ee, dipetik dari laporan SarawakVoice kelmarin.

 

Katanya, tindakan wartawan portal itu, Kow Gah Chie mempunyai niat jahat dan amat tidak bertanggungjawab.

 

“Dia (Gah Chie) harus faham bahawa di Sarawak, sentimen agama dan perkauman tidak mendapat tempat.

 

“Kerana itu kita amat menyokong tindakan calon BN di Dudong Datuk Tiong Thai King tidak melayan wartawan dari Semenanjung itu petang tadi,” katanya. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.