Parti Pekerja Sarawak Umum Sokongan Kepada BN

SIBU – Parti Pekerja Sarawak (SWP) telah memutuskan untuk menjadi parti mesra Barisan Nasional (BN) dan 30,000 anggotanya telah dinasihatkan supaya menyokong semua calon BN pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 yang pengundian ditetapkan pada 7 Mei.

 

Setiausaha Agungnya, Munan Laja, berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan cawangan-cawangan di seluruh negeri.

 

“SWP akan menjadi parti mesra BN. Kami akan menyokong Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan semua pemimpin BN peringkat persekutuan dan negeri.

 

“Kami adalah sebuah parti kecil dan akan memberi sumbangan secara kecilan-kecilan ke arah kemajuan dan kestabilan negeri dan negara,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini Jumaat.

 

Munan bertanggungjawab menjaga parti sehingga mesyuarat perwakilan tiga tahun sekali akan datang selepas presiden SWR, Larry Sng Wei mengumumkan keputusan keluar daripada parti beberapa hari lepas.

 

Larry yang telah membuat persiapan untuk bertanding di kerusi baharu Bukit Goram tetapi kemudian mengumumkan keputusannya menarik diri.

 

Munan berkata anggota-anggota parti menghormati keputusannya.

 

Dalam perkembangan lain, Munan berkata beliau akan menggemblengkan anggota-anggota parti untuk menyokong Datuk Ambrose Blikau, calon BN bagi kerusi Katibas pada hari penamaan calon pada Isnin di bandar Song. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.