Sesak Tiga Jam Lori Tengah Jalan

Johor Bahru – Pengguna Lebuhraya PLUS arah selatan menempuhi kesesakan lalu lintas selama tiga jam apabila sebuah lori pasir terbalik di Kilometer 38 dari Sedenak ke Kulaijaya, dekat sini, pagi semalam.

 

Kemalangan jam 6.30 pagi itu menyebabkan lori yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Pasir Gudang itu melintang di tengah jalan dan menghalang kedua-dua lorong arah selatan.

 

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Razak Md Said berkata, kesesakan lalu lintas berlaku sepanjang lima kilometer, namun PLUS membuka laluan kontra bagi mengatasi kesesakan.

 

“PLUS membuka laluan kontra dari Kilometer 37 hingga Kilometer 40 arah selatan bagi mengatasi kesesakan, sementara kerja mengalihkan kenderaan berat itu dilakukan.

 

“Kesesakan berlaku selama tiga jam sebelum laluan kontra dibuka sehingga kerja pengalihan dan pembersihan selesai jam 11 pagi,” katanya.

 

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu lori berusia 28 tahun itu yang memandu dalam keadaan letih dan mengantuk.

 

Katanya, lelaki yang memandu bersendirian dari Gua Musang itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

 

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.