Saya Tidak Bersendirian – PM

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat cuba menghantar mesej jelas kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa beliau tidak berseorangan dalam melawan kritikan daripada bekas Perdana Menteri itu.

 

Perdana Menteri berkata, beliau menerima sokongan padu dari banyak pihak seperti badan antarabangsa, individu dan institusi yang memberikan kepercayaan kepada negara.

 

Malah, beliau berasa amat yakin terhadap kestabilan dan pertumbuhan Malaysia menerusi kerajaan pada waktu ini.

 

“Terdapat cakap-cakap di Malaysia baru-baru ini mengenai bagaimana boleh menjadi sendirian untuk memberitahu kebenaran.

 

“Jadi, saya boleh beritahu kepada anda bahawa saya tidak berasa sendirian untuk berdiri di sini, di hadapan anda semua dan apabila banyak badan antarabangsa, individu dan institusi-institusi turut mengesahkan kepercayaan mereka terhadap kejayaan Malaysia serta meletakkan taraf kita di tempat yang tinggi, saya tidak berasa sendirian langsung sebaliknya saya berasa ditemani dengan begitu baik.

 

“Saya kini hanya memandang ke hadapan untuk memastikan dapat memberi lebih banyak kemajuan pada tahun-tahun yang mendatang ” katanya ketika berucap merasmikan Invest Malaysia di Hotel Mandarin Oriental pada Khamis.

 

Turut hadir pada program itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz.

 

Dr Mahathir di blognya sebelum ini menulis “Saya sedar saya keseorangan’ apabila kritikan dan serangan terhadap Najib mendapat kutukan daripada pemimpin UMNO.

 

Sementara itu Najib turut berkata kedudukan ekonomi negara kekal stabil dan kukuh meskipun berdepan de­ngan pelbagai cabaran termasuk penurunan harga minyak dunia.
Najib Tun Razak

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kestabilan dan kekuatan ekonomi negara itu dicapai hasil langkah pengurangan defisit yang dilakukan kerajaan beserta dengan kejayaan menambah hasil cukai.

 

“Peningkatan hasil cukai beserta pengurangan defisit secara beransur-ansur, kedudukan ekonomi negara stabil dan kukuh,” kata Perdana Menteri.

 

Najib memberitahu kutipan cukai negara serta kedudukan ekonomi Malaysia yang berada pada landasan tepat untuk mencapai bajet seimbang pada 2020.

 

Ketika ini, kedudukan defisit negara berada pada kadar 3.5 peratus selepas mencatat penurunan secara konsisten sejak enam tahun lalu di mana pada 2009, kadar defisit Malaysia ialah 6.7 peratus.

 

Menerusi carta itu, jumlah perolehan cukai negara meningkat 9.24 peratus dari 2010 hingga 2013 menjadikan keseluruhan RM155.952 bilion dan pada tahun lalu hasil cukai meningkat lagi kepada RM171.770 bilion.

 

Pada tahun ini pula, kutipan cukai negara dijangka meningkat kepada lebih RM183 bilion dengan cukai langsung dijangka menyumbang RM135.646 bilion manakala cukai tidak langsung sebanyak RM47.732 bilion.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.