Perkasa Sokong Bina Gereja

Kuala Lumpur – Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) tidak terkecuali mengecam perbuatan mereka yang terbabit menunjuk perasaan membantah pemasangan salib di sebuah gereja di Kampung Medan.

 

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali menegaskan, masyarakat Islam perlu rasional ketika membuat pertimbangan dengan mengambil kira sensitiviti penganut lain.

 

Mengulas lanjut mengenainya, beliau yang selama dikenali sebagai seorang yang lantang mempertahan isu membabitkan agama Islam dan hak orang Melayu meminta masyarakat Islam berfikiran rasional.

 

Jelasnya, sentimen yang sama turut dirasai sekiranya orang Islam membina surau di kawasan yang majoritinya terdiri daripada bukan Islam.

 

“Kita juga ada bina surau atau madrasah di kawasan yang bukan majoriti umat Islam. Jadi tidak ada masalah,” katanya.

 

Menurut Ibrahim, kewujudan gereja di negara ini berasaskan kepada kebebasan rakyat Malaysia untuk mengamalkan agama masing-masing.

 

Oleh itu, beliau menasihat penduduk berkenaan supaya tidak mencampuri hak agama kaum lain sebaliknya menjadikan kewujudan gereja untuk mendorong mereka lebih beribadat.

 

“Sebagai orang Islam, kita kena fikir jika ada gereja, maka kita harus lebih berusaha keras untuk memakmurkan surau di situ dan pastikan orang Islam yang lain solat berjemaah di situ. Bukannya mencampuri bab agama lain.

 

“ Jika surau dan gereja ada, tetapi hanya gereja yang aktif mengadakan pelbagai aktiviti, maka kita tidak boleh marah apa yang agama lain lakukan kerana kita sendiri tidak berbuat apa-apa dari segi dakwah sesama Islam,” ujarnya ketika ditemu ramah FMT di pejabatnya.

 

Tambahnya, kewujudan salib tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada orang Islam kerana ia tidak menjadikan iman mereka lemah kerana di Baitulmaqdis sendiri gereja dan masjid terletak bersebelahan.

 

Di sebalik kemelut yang berlaku, Perkasa menyalahkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana telah membenarkan rumah kedai dijadikan gereja.

 

“Perkasa tidak menentang pembinaan gereja di negara ini tetapi ia harus dilakukan dengan cara yang betul iaitu mendapatkan permit untuk rumah ibadat.

 

“Kenapa MBPJ tidak bertindak lebih awal terhadap gereja ini sedangkan tahu gereja ini tidak mempunyai permit dan kenapa biarkan ia terus beroperasi?” soalnya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.