Pengguna Tidak Digalak Beli Tayar Celup – JPJ

Putrajaya – Pengguna jalan raya tidak digalak menggunakan tayar celup, kerana ia tidak dijamin selamat serta mudah haus berbanding tayar asli.

 

Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Mohamad Dalib berkata, penggunaan tayar celup boleh menyebabkan jangka hayat tayar lebih pendek daripada tayar asli.

 

Beliau berkata, tayar baru mempunyai jaminan dan hanya akan haus dalam tempoh tiga hingga empat tahun.

 

“Definisi tayar celup ialah tayar lama yang dicelup dan dikitar semula serta dijual kepada pengguna, dengan harga mengikut jenis dan saiz.

 

“Ia dijual dengan harga murah sekitar RM80 hingga RM200 dan tidak mustahil akan naik lagi (mengikut kualiti) hingga mencecah RM1,000,” katanya ketika ditemui Bernama di ibu pejabat JPJ, baru-baru ini.

 

Katanya, penggunaan tayar celup juga boleh menyebabkan pemandu tidak selesa, kerana tayar itu akan menyebabkan bunyi bising dan hentakan ketika pemanduan.

 

Selain itu, beliau berkata, penggunaan tayar celup boleh mengganggu dan merosakkan komponen enjin kereta.

 

Beliau diminta mengulas tindakan seorang pelakon membawa tayar celup ke Kementerian Pengangkutan pada 14 April lalu, atas dakwaan penggunaan tayar itu membahayakan nyawanya.

 

Azlan Sani Zawawi atau dikenali sebagai Lando mendakwa, beliau nyaris maut, apabila motosikal ditunggangnya hampir dilanggar sebuah kenderaan yang mengelak daripada serpihan tayar celup di atas jalan di Hulu Klang, pada 13 April lalu.

 

Pelakon berusia 40 tahun itu menyerahkan tayar celup terbabit untuk dijadikan bukti, agar Kementerian Pengangkutan boleh menjalankan kajian dan siasatan.

 

Mohamad berkata, walaupun pihak berkuasa tidak menggalakkan penggunaan tayar celup, namun pembuatannya diiktiraf negara luar, seperti New Zealand, Australia dan Taiwan.

 

“Saya menegaskan, pengguna harus bijak dalam memilih tayar, termasuk tayar celup demi keselamatan ketika memandu, kerana kuasa membeli terletak pada diri pengguna itu sendiri.

 

“Pengguna harus mendapat pengetahuan dan diberi pendedahan awal mengenai pemilihan tayar kenderaan yang berkualiti sebelum membelinya…jika tidak, mereka akan membelinya tanpa sebarang pengetahuan dan yang rugi adalah pengguna sendiri,” katanya.

 

Mohamad berkata, pada masa ini, penggunaan tayar asli lebih berkualiti dan dijamin selamat, kerana ia mempunyai ciri-ciri keselamatan tinggi, walaupun kosnya agak mahal.

 

Mengikut piawaian JPJ, katanya, tiap-tiap  tayar perlu mempunyai ukurun tidak kurang 1.6mm.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada 23 Mac lalu, berkata statistik kemalangan jalan raya 2013 yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan, hanya lapan daripada 30,458 kes kemalangan jalan raya membabitkan masalah tayar celup.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.