PAS Sanggup Kalah Pilihan Raya 
Berbanding Tolak Laksana Hudud

SHAH ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu lebih rela tewas dalam pilihan raya daripada menukar pendirian sama seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang menolak pelaksanaan hukum hudud sebelum ini.

 

Tegas Abdul Hadi, pihaknya kekal dengan prinsip melaksanakan hudud adalah lebih penting berbanding kedudukan politik kerana hukum itu bukan hanya disyariatkan dalam Islam, tetapi satu jaminan keadilan untuk keamanan dan keselamatan rakyat keseluruhannya.

 

Malah, beliau turut menyelar kenyataan pemimpin-pemimpin PKR dan DAP sebelum ini yang menolak usaha Pas membawa Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2015 di Dewan Rakyat dengan menyatakan tindakan sekutunya itu tidak lebih hanya kerana takut kehilangan undi bukan Islam.

 

“Saya buat kesimpulan bahawa ramai dalam kalangan (pemimpin) pakatan pembangkang tidak suka hudud kerana (mereka) takut tidak dapat undi. Mereka takut pengundi tidak akan mengundi kita (pakatan pembangkang).

 

“Namun, masalah kita (Pas) ialah bukan kerana pilihan raya tetapi masalah ke­amanan dan ke­selamatan. Tidak menang pilihan raya pun tak apa, asalkan rakyat selamat,” katanya ketika menjawab soalan seorang peserta program Bicara Minda dan Sesi Dialog bertajuk Hudud Di Kaca Mata Hadi di Auditorium Karangkraf, di sini hari ini.

 

Abdul Hadi turut menegaskan bahawa Pas di bawah kepimpinannya tidak berhasrat tinggi untuk berebut menjadi pemimpin atau ketua kerana perjuangan parti itu bukan untuk memenangi pilihan raya tetapi untuk memastikan rakyat selamat sepanjang masa.

 

“Ini ada orang takut tak menang di Sarawak, tak menang ini,” tegasnya lagi.

 

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Marang itu ketika di­tanya mengenai kenyataan Ketua Urusan Ulama Pas Permatang Pauh, Badrul Abdul Rahman semalam bahawa mengundi calon yang menolak pelaksanaan hudud haram dan berdosa, beliau me­nyatakan pendirian menghormati pandangan penyokong Pas di kawasan berkenaan.

 

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan pendirian sama ada menyokong atau tidak pandangan Badrul itu kecuali hanya menegaskan Pas masih lagi bersama pakatan pembangkang.

 

“Saya akan dengar panda­ngan ahli-ahli Pas Pematang Pauh sendiri,” katanya kepada pembe­rita selepas selesai program yang dihadirinya itu.

 

Semalam, Badrul menegaskan mengundi calon yang menolak pelaksanaan hukum hudud adalah haram dan berdosa memandangkan Islam mencakupi seluruh perkara dalam kehidupan termasuk dalam soal politik dan memilih pemimpin.

 

Menurutnya, umat Islam yang mempelajari asas agama akan memahami bahawa hudud adalah syariat Allah dan wajib dilaksanakan ke atas umat Islam manakala tindakan membantah dan mempertikaikan hukum itu akan merosakkan akidah umat. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.