Najib Tiba Di Bandung Untuk Lawatan Kerja 2 Hari

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di Bandung hari ini untuk melakukan lawatan kerja dua hari dan menghadiri sambutan ulang tahun ke-60 Persidangan Asia Afrika dan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Baru Asia-Afrika.

 

Pesawat khas membawa beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mendarat di Bandar Udara Internasional Husein Sastranegara pada kira-kira pukul 4.30 petang waktu tempatan (5.30 petang waktu Malaysia) dan disambut Menteri Perdayagunaan Aparatur Negara dan Reformasi Birokrasi Yuddy Chrisnandi dan Duta Plenipotentiari dan Ekstraordinari Indonesia Herman Prayitno.

 

Turut menyambut ketibaan perdana menteri dan isteri ialah Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim serta isteri, Datin Seri Che Mahani Ismail.

 

Petang ini, Najib dijadual mengadakan perjumpaaan dengan kira-kira 200 pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di Indonesia di Hilton Hotel di sini.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dijadual menghadiri majlis makan malam bersama Najib dan pelajar berkenaan.

 

Esok, perdana menteri akan menyertai presiden Indonesia Joko Widodo dan para anggota perwakilan ke Persidangan Asia-Afrika melawat Gedung Merdeka di Bandung.

 

Zahrain berkata, lawatan ini memberi peluang kepada Najib untuk bertukar-tukar pendapat tentang isu dua hala, serantau dan antarabansga yang menjadi kepentingan bersama dengan para pemimpin dari negara Asia dan Afrika.

 

Katanya, lawatan itu juga menjadi simbol sokongan dan komitmen berterusan Malaysia terhadap usaha mengukuhkan lagi kerjasama dengan negara membangun lain, terutama di Asia dan Afrika, dengan matlamat utamanya untuk memupuk keamanan dan kemakmuran dunia melalui kerjasama Selatan-Selatan.

 

Sambutan ulang tahun Persidangan Asia-Afrika dan Perkongsian Strategik Baharu Asia-Afrika mempertemukan ketua-ketua negara dari 109 negara Asia dan Afrika.

 

Sambutan itu bermula dengan Mesyuarat Menteri-menteri Asia-Afrika pada 20 dan 21 April, diikuti Sidang Kemuncak Asia-Afrika bertemakan ‘Mengukuhkan Kerjasama Selatan-Selatan Bagi Memupuk Keamanan dan Kemakmuran Dunia’ pada 22 dan 23 April di Jakarta.

 

Persidangan Asia-Afrika pertama dianjurkan bersama oleh lima negara iaitu India, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Sri Lanka di sini pada 1955.

 

Persidangan itu menjadi simbol perkongsian hasrat dan perpaduan dalam kalangan negara Asia dan Afrika yang baru merdeka. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.