Lembaga Disiplin UMNO Sedia Siasat Kumpulan Mahu Jatuhkan Presiden

KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin UMNO akan menjalankan siasatan penuh berhubung dakwaan yang menyebut ada kumpulan tertentu dalam UMNO yang berura-ura mahu menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak dari jawatan Presiden parti.

 

Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Rithaudeen ketika dihubungi SuaraTV berkata pihaknya tidak akan menolak sebarang kemungkinan untuk menyiasat isu tersebut sekiranya ada aduan yang dibuat.

 

“Sehingga kini kita tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai isu tersebut.

 

“Walau bagaimanapun lembaga disiplin akan menjalankan siasatan menyeluruh sekiranya terdapat laporan mengenai dakwaan wujudnya gerakan untuk menjatuhkan Presiden Umno itu,” ujarnya sebentar tadi.

 

Terdahulu sebelum itu, Ketua bahagian UMNO Sepanggar yang juga Ahli Parlimen BN bagi kawasan itu digantung keahliannya selama enam tahun kerana mengkritik kepimpinan negeri baru-baru ini.

 

Turut menerima nasib yang sama ialah Ketua Pemuda UMNO Perlis, Syed Atief Syed Abu Bakar yang digantung keahlian tiga tahun. Kedua-duanya telah mengemukakan rayuan kepada Majlis Tertinggi UMNO.

 

Dalam laporan sebelum ini, sumber memberitahu SuaraTV satu perjumpaan sulit telah diadakan di bandar Muazam Shah diketuai oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun yang dikatakan sedang merangka gerakan untuk menyingkirkan Najib.

 

Menurut sumber tersebut, perjumpaan yang diadakan itu turut dihadiri Exco Pemuda Umno, Armand Azha Abu Hanifah, Pengerusi Biro Tugas-tugas Khas Pemuda Umno, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Sheikh Ahmad Nafiq Alfirdaous Sheikh A. Rahman dan Penolong Setiausaha Pemuda Barisan Nasional, Datuk Mohamed Shafri Abd Aziz.

 

“Asalnya perjumpaan pada pukul 1.30 petang bersama Azwan Bro (Khairul Azwan – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO) dengan semua Ketua Pemuda Bahagian UMNO Johor itu bertujuan untuk mengatur gerak kerja Pemuda sepanjang kempen pilihanraya kecil Rompin.

 

“Namun perbincangan itu kemudiannya telah bertukar menjadi agenda untuk menjatuhkan PM,” ujar sumber tersebut kepada SuaraTV.

 

Sumber yang sama juga mendakwa Khairul Azwan turut menghasut agar semua yang hadir menentang kepimpinan Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

 

Sementara itu sebuah portal pro UMNO, MyKMU.Net turut mendedahkan kewujudan gerakan sulit itu.

 

“Azwan mengingatkan Pemuda Johor bahawa sokongan Pemuda UMNO Malaysia adalah kepada jawatan Presiden UMNO bukannya kepada Mohd Najib Tun Razak.

 

“Beliau turut menyatakan tidak percaya dengan penjelasan Perdana Menteri semasa pertemuan Pemuda UMNO Malaysia minggu lalu dan percaya Mohd Najib hanya “buying time” menggunakan alasan menunggu Ketua Audit Negara” lapor portal tersebut.

 

Portal tersebut melalui artikel bertajuk “5 Sekawan Pemuda UMNO Atur Rancangan Jatuhkan Perdana Menteri?“ turut melaporkan kenyataan Khairul Azwan yang beranggapan Najib harus ditumbangkan dan orang yang layak mengetuai penentangan terhadap Perdana Menteri ialah Ketua Pemuda UMNO sendiri, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

 

“Saya melihat isunya bukan penjelasan Perdana Menteri tetapi lebih kepada perebutan untuk mendapat jawatan lebih tinggi dengan menjatuhkan Perdana Menteri,” kata seorang Ketua Pemuda Umno Bahagian yang hadir dalam majlis terbabit, memetik laporan portal terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.