Lelaki Cari Lembu Hilang Ditemui Mati

Seorang penternak lembu ditemui mati di kawasan kebun kelapa sawit dekat Kampung Hutan Padang Tapong di Besut kira-kira jam 3.30 petang semalam oleh seorang rakannya.

 

Mangsa dikenali sebagai Muhamad Suhaimi Mohamed, 59, yang bekerja sendiri tinggal di Kampung Padang Luas, Jerteh kira-kira lapan kilometer dari tempat kejadian.

 

Ketua Polis Daerah Besut Supt Khaled Che Lah berkata sebelum itu mangsa yang pergi secara bersendirian sedang mencari lembunya yang hilang telah menghubungi rakannya yang dikenali sebagai June di Pasir Putih, Kelantan untuk datang membantunya kira-kira pukul 2.00 petang semalam.

 

Katanya apabila sampai di kawasan hutan berkenaan June telah cuba menghubungi mangsa melalui telefon bimbit dan rakannya itu memberitahu yang dia berada di satu kawasan dengan menyeberang sebatang sungai di situ.

 

“Kira-kira sepuluh minit kemudian rakannya tiba-tiba mendengar bunyi salakan anjing kepunyaan mangsa dari satu kawasan sebelum disusuli dengan bunyi tembakan sebanyak dua kali,” kata Khaled kepada media di Besut hari ini.

 

Katanya curiga dengan bunyi tembakan itu rakannya telah mencari mangsa dan berjaya menemuinya dalam keadaan terlentang dengan senjatanya masih di dakapannya manakala seekor babi hutan turut ditemui mati 15 meter daripada mangsa ditemui.

 

Mayat mangsa dikeluarkan daripada kawasan berkenaan kira-kira jam 11 malam tadi dan dihantar ke Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat.

 

Pihak Hospital Daerah Besut mengesahkan kematian mangsa disebabkan serangan jantung dan pemeriksaan ke atas mayat mangsa juga didapati tiada sebarang kesan kecederaan kecuali hanya luka kecil di bawah telinganya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.