Kerete ‘Klon’ Milik Guru Disita SPRM

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya menyita dua buah lagi kenderaan klon termasuk satu daripadanya milik seorang guru.

 

Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Azam Baki dalam satu kenyataan berkata kereta Lexus yang dipercayai diklon diseludup ke Malaysia dari negara jiran itu disita di kawasan Padang Jawa, Selangor dalam satu operasi pagi ini.

 

“Dalam pada itu, SPRM telah menyita sebuah kereta Honda Odyssey milik seorang guru.

 

“Kereta terbabit ditahan oleh Polis Diraja Malaysia apabila guru terbabit membuat laporan polis semalam,” katanya.

 

Kejayaan operasi hari ini menjadi jumlah keseluruhan 171 kenderaan telah disita oleh SPRM dan JPJ di Terengganu, Johor dan Negeri Sembilan.

 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 153 daripada 169 kenderaan terbabit disita di Terengganu oleh JPJ yang kemudiannya menyerahkan kepada SPRM Terengganu untuk tindakan siasatan lanjut.

 

“SPRM akan memanggil kesemua 153 pemilik kenderaan diklon itu untuk diambil keterangan.

 

“SPRM dan JPJ percaya bahawa selain di Terengganu, Johor dan Negeri Sembilan, kenderaan klon juga terdapat di negeri-negeri lain. Operasi akan dijalankan oleh SPRM dan JPJ untuk mengesan kenderaan diklon,” ujarnya.

 

SPRM dan JPJ sebelum ini berjaya menumpaskan sindiket kereta ‘klon’ yang menggunakan cukai jalan palsu dan tidak berdaftar secara sah dengan JPJ serta dilarang sama sekali untuk diimport tanpa kebenaran khas ke Malaysia.

 

Hasil daripada tertumpasnya sindiket berkenaan, sebanyak 153 buah kereta ‘klon’ dan dua buah motosikal berkuasa tinggi berjaya dirampas di pelbagai lokasi di Terengganu yang bernilai lebih RM13 juta.

 

Menurutnya, hasil risikan dan juga maklumat daripada orang awam, sindiket berkenaan dikesan menjalankan operasi berkenaan sejak setahun lalu dan dipercayai menyeludup kereta-kereta berkenaan dari Singapura serta dijual pada harga antara RM20,000 hingga RM50,000 di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.