Kekayaan Negara Tak‎ Bermakna Jika Tak Dikongsi‎ – PM

KUALA LUMPUR – Keterangkuman dan kemampanan akan menjadi teras Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Beliau berkata dua nilai utama itu akan menjadi tunggak pertumbuhan Malaysia, yang diaplikasikan dalam Program Transformasi ekonomi (ETP).

 

“Kerajaan sudah lama memperakui bahawa kekayaan kemakmuran negara tidak bermakna jika tidak dikongsi. Hasil kejayaan mesti dinikmati semua,” katanya dalam ucaptama pada persidangan pelabur institusi, Invest Malaysia 2015 di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata sejak pelancaran ETP pada 2010, 1.8 juta peluang pekerjaan tambahan diwujudkan.

 

Beliau berkata kerajaan juga melaksanakan Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Negara yang baharu bagi memastikan generasi muda berbakat negara mampu bersaing an berjaya di peringkat dunia.

 

Najib berkata bagi memanfaatkan peluang dalam perkhidmatan dan produk pelaburan patuh Syariah, Suruhanjaya Sekuriti (SC) sedang membangunkan pelan tindakan menyeluruh untuk Dana Islam Malaysia dan industri Pengurusan Kekayaan.

 

Beliau berkata pelan tindakan itu yang dijangka siap pada akhir tahun, akan merencanakan arah tuju strategik jangka sederhana dan panjang industri itu selain merangka strategi dan cadangan bagi mengukuhkan daya saing negara.

 

Perdana Menteri berkata industri pengurusan dan Islam Malaysia yang dibangunkan dengan jayanya, menguasai 22 peratus daripada US$73 bilion aset Islam dalam pengurusan sehingga tahun lepas.

 

Kini terdapat 20 syarikat beroperasi dalam pengurusan dana Islam yang dilesenkan oleh SC, selain 21 lagi yang beroperasi menerusi ‘tingkap Islam’ bersama perniagaan konvensional.

 

Najib berkata pertumbuhan industri dana Islam merupakan pemacu utama pasaran modal, dengan RM630 bilion dalam pengurusan sehingga akhir 2014.

 

Beliau berkata tahap pasaran modal bergantung kepada purata tahunan RM111 bilion yang dikumpulkan menerusi bon korporat dan penawaran tawaran awam permulaan sejak tiga tahun lepas.

 

“Angka ini sekali ganda berbanding purata RM48 bilion sedekad lepas,” katanya.

 

Pasaran modal negara katanya mencatat pertumbuhan kukuh dan kini bernilai RM2.82 trilion, hampir tiga kali ganda saiz ekonomi negara, dengan pasaran ekuiti dan bon masing-masing bernilai RM1.74 trilion dan RM1.08 trilion. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.