Hadi Hormati Pendirian PAS Permatang Pauh Boikot Pilihan Raya Kecil

SHAH ALAM – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berkata beliau menghormati PAS Kawasan Permatang Pauh yang mahu memboikot pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.

 

Bagaimanapun pada masa sama, beliau mempertahankan kedudukan parti itu dalam Pakatan Rakyat meskipun tindakan boikot berikutan keengganan sekutunya PKR menyokong pelaksanaan hukum hudud.

 

“Kita masih dalam Pakatan Rakyat… dan ada pun tentang Permatang Pauh itu, saya menghormati (PAS) kawasan Permatang Pauh,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas sesi dialog ‘Hudud Dari Kaca Mata Hadi’ anjuran Sinar Harian.

 

Terdahulu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mohd Piah dilaporkan berkata bahawa mereka tidak akan bekerjasama di Permatang Pauh selagi Pemuda PKR negeri itu dan Pemuda Sosialis DAP Pulau Pinang tidak menarik balik kenyataan ke atas Abdul Hadi berhubung isu hudud.

 

Kenyataan mahu memboikot PRK itu turut dinyatakan PAS kawasan Permatang Pauh.

 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei, penamaan calon 25 April manakala pengundian awal pada 3 Mei. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.