Asrama Pelajar Terbakar Di Moscow, Tujuh Pelajar Malaysia Cedera

Kuala Lumpur -Tujuh pelajar jurusan perubatan Malaysia di Russian National Research Medical University (RNRMU) kini masih mendapatkan rawatan di hospital selepas penginapan asrama M2 didiami mereka terbakar, malam tadi.

 

 

Mereka adalah Mohannan Pattu, Pavin Raaj Selva Kumar, Praveena Sunthar Raj, Chen Wei Jun, Naveen Anbalakan, Zainal Nastaiin dan Sharath Raj.

 

 

Dalam kejadian jam 11.30 malam (kira-kira jam 4.30 pagi waktu Malaysia) itu, 21 pelajar Malaysia terbabit dan mereka dihantar ke tiga hospital iaitu Hospital No 36, Hospital Pirogov serta Hospital Sklifosovskogo.

 

 

Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Moscow, Francisco Munis, memaklumkan kebanyakan pelajar yang menjadi mangsa mengalami kebakaran kulit dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

 

 

Katanya, tujuh daripadanya masih mendapat rawatan di hospital selepas mengalami masalah pernafasan.

 

“Duta Besar serta pegawai kedutaan telah melawat pelajar terbabit.

 

“Pihak kedutaan juga sedang bekerjasama dengan pihak universiti untuk membantu mereka mendapatkan penginapan sementara,” katanya.

 

Sementara itu, seorang pelajar Malaysia yang enggan namanya disiarkan berkata, alat penggera yang tidak berfungsi menyebabkan kira-kira 200 pelajar, termasuk dari Malaysia, Myanmar, Sri Lanka dan Nigeria yang tinggal di asrama itu lewat mengosongkan bangunan.

 

“Apabila kebakaran berlaku, kami tidak sedar kerana masing-masing sibuk melakukan aktiviti sendiri.

 

Kami hanya sedar bangunan terbakar apabila asap tebal mula menyelubungi bangunan,” katanya ketika dihubungi di Russia, semalam.

 

Seorang lagi pelajar Malaysia yang menetap di asrama sama, Nurul Ain Zufaiqah Nor Aizi, 23, berkata ketika kejadian, beliau berada di bilik rakannya di tingkat 15 sebelum dikejutkan dengan bunyi orang menjerit.

 

“Apabila terdengar suara jeritan, saya dan rakan panik dan bergegas turun melalui satu lagi tangga kecemasan di tepi asrama bagi menyelamatkan diri selepas mengetahui tangga utama tidak selamat digunakan.

 

Ketika itu asap amat tebal dan sukar untuk bernafas,” katanya.

 

Nurul Ain, pelajar tahun lima jurusan perubatan universiti itu berkata, beliau dan beberapa pelajar lain sudah dibenarkan kembali ke bilik masing-masing, tengah hari semalam, kerana bilik mereka tidak terjejas.

 

AFP dalam laporannya menyebut 21 pelajar asing dilaporkan berada dalam kritikal. Asrama dengan ketinggian 16 tingkat, yang terletak dalam satu sekolah perubatan terbaik di Russia itu terbakar pada malam Rabu, mengakibatkan 43 mangsa memerlukan rawatan perubatan segera.

 

Daripada 43 mangsa itu, 36 masih berada di hospital, dengan 21 daripada mereka dilapor dalam ‘keadaan kritikal’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.