Anwar Ibrahim Kaki Goreng – Daim Zainuddin

Kuala Lumpur – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘kaki goreng’ kerana mendakwa mempunyai bukti kukuh tentang penyelewengan yang beliau lakukan di luar negara.

Katanya, jika Ketua Pembangkang itu mempunyai bukti berhubung perkara itu, Anwar sepatutnya membuat laporan terperinci kepada pihak berkuasa dan bukannya memperbesar-besarkan isu yang tidak sahih.

“Dia (Anwar) ketika itu berjumpa dengan Presiden Tanzania dalam sesi pelaburan dan bertanya tentang aset saya. Presiden itu berkata, memang saya ada bank di Tanzania, jadi apa masalahnya?

“Anwar lepas dibuang daripada parti, semua dia kata tak betul, jadi apa yang dibuat masa dalam parti? Anwar ini ‘kaki goreng’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Bicara Petang yang dianjurkan oleh Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud, Presiden Perdasama, Datuk Moehamad Izat Emir dan Pengerusi Biro SME Perdasama, Datuk Norizan Bakar.

Daim diminta mengulas dakwaan Anwar bahawa beliau mempunyai akaun di luar negara hasil penyelewengan semasa beliau dalam Kabinet.

Daim menjelaskan, pada tahun 1999 ketika Anwar dalam Kabinet, Ketua Pembangkang itu pernah membuat laporan dan melakukan siasatan ke atasnya.

“Siasatan berdasarkan salinan surat-surat yang saya serahkan padanya. Tetapi, dia potong nama saya, dan dia kata memperoleh surat itu sendiri. Saya telah dua kali disiasat tentang pemilikan aset.

“Masa tu dia (Anwar) Menteri Kewangan dan juga pengerusi tentang rasuah. Kenapa tak ambil tindakan? Lepas kena buang daripada parti UMNO, semua dia kata tak betul,” jelas beliau.

Beliau juga mempersoalkan dakwaan Anwar yang menyatakan mempunyai beberapa kotak mengandungi dokumen penyelewengan oleh tokoh-tokoh politik.

“Tetapi sehingga kini tidak ada apa yang didedahkan oleh ketua pembangkang itu,” katanya.

 

One thought on “Anwar Ibrahim Kaki Goreng – Daim Zainuddin

  • April 23, 2014 at 5:25 pm
    Permalink

    ini kes orang-orang kaya tidak bolih masuk campur…silap-silap kena saman juta-juta…tetapi yang hairannya sikap DSAI yang ‘kaki goreng’ ini semakin hari pengaruhnya semakin kuat hingga PR [PAS PKR DAP] mampu memberi cabaran yang hebat pada BN yang mempunyai parti gabungan yang lebih banyak di banding dengan PR…PRU12 PRU13 menunjukan pengaruh BN semakin menurun hingga gagal mendapat mandat 2/3…adakah kerana rakyat sokong DSAI sebab ‘kesalahan’ beliau dan undi pada BN menurun sebab rakyat tidak suka ‘kebaikan’ BN/UMNO…mungkin lebih banyak DSAI buat ‘salah’ lebih kuat pengaruh beliau…yang pasti PRU14 tentu semakin mendebarkan buat BN dan PR…nilai undi rakyat mungkin naik berganda.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.