SKMM Akan Sekat Laman Web Timbul Kekecohan PRU14

“Rakyat teguh bersatu, Tinggi martabatnya…. Kukuh perpaduannya, Harmoni, Duniawi ukhrawi….” Begitulah bait-bait lagu dalam album patriotik terbitan TheRakyat, #tonggaknegara, yang dilancarkan semalam.

Album yang dilancarkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak itu menampilkan lapan buah lagu dalam lapan bahasa yang berbeza, mewakili pelbagai masyarakat di negara ini termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Hokkien dan bahasa tempatan yang digunakan di Sabah dan Sarawak.

Penyanyinya termasuk Jaclyn Victor, Zazrina Zainuddin, Audra Pearl Justine, Ravi Sharma, Leonard Lai Yzek Hzeng, Jackes Tew Jack Shiong dan Sean Say How.

Salleh dalam ucapannya berkata rakyat Malaysia mesti mempunyai semangat patriotik terhadap negara sendiri biarpun mempunyai pendapat yang berbeza.

“Apa yang kita lakukan sama ada dari segi kritikan mahupun perbuatan, janganlah sampai melampaui batas sehingga boleh memusnahkan negara.

Rakyat matang berbeza pandangan

“Kalaupun ada perbezaan dari segi pandangan politik kita, kita harus selesaikan perbezaan itu dengan cara yang matang dan biasanya akan diselesaikan melalui proses pilihan raya yang demokratik,” kata Salleh pada majlis pelancaran album tersebut di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya lagi, beliau turut berbangga kerana rakyat Malaysia tidak menerima pandangan mereka yang tidak berhenti memburukkan negara yang dilihatnya semakin lantang.

“Rakyat kita matang, kukuh dengan semangat patriotik yang tidak pudar untuk pertahankan negara.

“Sebab itu bagi saya lagu-lagu seperti ini penting untuk kita siarkan bagi memberi kesedaran kepada kita akan pentingnya semangat kenegaraan itu ada pada diri kita,” jelasnya lagi.

SKMM kerjasama polis, agensi lain

Album gubahan komposer Anuar Abdul Razak yang juga bekas penyanyi utama kumpulan Revolvers itu dihasilkan dalam bentuk digital dan boleh dilayari di portal TheRakyat.com.

Sementara itu ketika menjawab soalan wartawan selepas majlis tersebut mengenai 1,100 individu yang dikenalpasti berpotensi menimbulkan kekecohan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Salleh berkata pihaknya akan menjalankan penyiasatan rapi sebelum sebarang tindakan diambil.

Katanya pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia juga boleh mengambil tindakan menyekat mana-mana laman web dan portal yang menyalurkan maklumat bertujuan menimbulkan kekecohan menjelang PRU14.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak polis dan agensi yang berkaitan mengenai dakwaan tersebut. Sudah tentulah tindakan akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” tambahnya.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.