Nyanyilah Dengan Ahli DAP, Jangan Libat Pelajar – Mahdzir

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng agar tidak melibatkan pelajar dalam isu-isu politik.

Tegasnya, Setiausaha Agung DAP itu sepatutnya tidak menyalahgunakan pelajar dan menyerahkan tanggungjawab pendidikan kepada warga pendidik.

Mahdzir mengulas tindakan Guan Eng yang didakwa mengajar rentak lagu anti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada pelajar di sebuah pusat tuisyen di Pulau Pinang, baru-baru ini.

“Kalau dia mahu menyanyi untuk dia punya parti, dia nyanyilah, untuk parti DAP, dia nyanyilah berapa kuat pun dia mahu nyanyi. Tiada hal, tetapi dia tidak boleh ambil lagu itu dan bawa ke pusat tuisyen. Ada pelajar di situ,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu 2018 di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, tindakan itu tidak mengejutkan beliau kerana parti pembangkang sememangnya bermatlamat untuk melawan setiap perkara dilakukan kerajaan.

“Apa yang kerajaan buat ini, semua pembangkang kata tidak betul. Itu memang kerja pembangkang; orang ramai boleh nilai sendiri. Namun, jangan libatkan dengan pelajar. Itu sahaja,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, satu video dimuat naik di Facebook milik sebuah akhbar berbahasa Cina yang memperlihatkan Guan Eng mengajar rentak lagu mengenai GST pada pelancaran Tuisyen Rakyat Pulau Pinang, baru-baru ini.

Video berdurasi 32 saat yang viral sejak hujung minggu lalu itu memaparkan seolah-olah GST memberi kesan buruk kepada rakyat, lappr Awani

Susulan itu, polis akan memanggil Ketua Menteri Pulau Pinang itu bagi membantu siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.