Tiga Beranak Maut Dalam Kemalangan Di Machang

Tiga beranak maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM31 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Pulai Chondong, Machang petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang Penolong Pegawai Bomba Nik Afsham Nik Pa berkata dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Azizah Zakaria, 74, anaknya yang juga pemandu kereta Siti Rohani Yajid, 35, dan cucunya Mohd Zahirul Fitri Mohd Harul Nizam, 11.

Nik Afsham berkata mangsa yang cedera ialah Yajid Ismail, 82, dan tiga anak Siti Rohani iaitu Mohd Tharid Hakim, 5, Nor Eiyazi Amani dan Nor Adita Aisyah, 2.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Proton Saga dinaiki mangsa dari arah Kuala Krai menghala ke Kota Bharu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan bertembung kereta jenis Mercedes-Benz yang dipandu Lim Ah Tek, 72.

“Akibat pertembungan itu, Proton Saga terbabit terbakar dan yang maut dan cedera adalah pemandu dan penumpang kereta terbabit, manakala pemandu kereta Mercedes-Benz tidak cedera,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Nik Afsham berkata pihaknya ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.15 petang.

“Sebuah jentera dan tujuh anggota ke tempat kejadian dan ketika tiba, mereka sudah dikeluarkan orang awam. Kami ambil masa 10 minit untuk memadamkan kebakaran dan mangsa maut dan cedera dibawa ke Hospital Machang,” katanya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.