Wanita Dibunuh Kerana Dituduh Bakar al-Quran

KABUL – Sekumpulan aktivis wanita semalam mengusung keranda seorang wanita yang meninggal dunia akibat dipukul hingga mati oleh sekumpulan perusuh.

 

Upacara pengebumian Farkhunda, 27, di utara Kabul semalam itu dihadiri beratus-ratus penduduk.

 

Farkhunda meninggal dunia selepas dipukul sekumpulan perusuh yang kebanyakannya lelaki sebelum mayatnya dibakar dan dicampak di dalam sungai Kabul.

 

Pihak polis kini masih menyiasat punca menyebabkan kumpulan itu menyerang mangsa dengan kejam.

 

Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani mengutuk pembunuhan itu yang dianggap sebagai kejam dan mengarahkan siasatan dijalankan.

 

Beberapa pegawai dan pemimpin agama mendakwa Farkhunda dibunuh selepas dia membakar al-Quran, tetapi tuduhan itu masih belum dapat dibuktikan.

 

Ketua jabatan siasatan Kabul, Mohammad Farid Afzali pula mendakwa Farkhunda menghidap satu penyakit mental.

 

Bagaimanapun, seorang jiran Farkhunda memberitahu wartawan agensi berita Associated Press, mangsa hampir menamatkan pengajian agama dan bakal menjadi guru.

 

“Semua orang sangat menghormati Farkhunda kerana dia sangat alim dan tidak pernah keluar rumah tanpa menutup mukanya dengan tudung,” kata Mirwais Afizi, 40.

 

Mirwais berkata, sejak kecil dia tinggal di lorong yang sama dengan kediaman keluarga Farkhunda di sini.

 

“Kami tidak pernah mendengar cerita bahawa Farkhunda mengalami masalah mental. Dia hampir menamatkan pengajiannya,” tambahnya.

 

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata, polis menahan tujuh suspek dan meletakkan keluarga Farkhunda di bawah perlindungan polis. – AP/BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.