Tiga Rakan Dirompak, Dipukul Ketika Kereta Rosak Tepi Jalan

PETALING JAYA – Tiga rakan telah dirompak dan seorang daripada mereka dipukul dengan teruk oleh empat perompak bersenjatakan senapang Taser dan pengunci motosikal selepas kereta mereka rosak di Ara Damansara.

 

Walaupun mereka menjerit meminta pertolongan, pemandu yang lalu-lalang hanya memperlahankan kenderaan, semata-mata untuk melihat dan berlalu pergi.

 

Salah seorang mangsa, Fiqa Liyana Chong, 25, berkata kereta mereka rosak selepas mereka keluar dari sebuah pusat beli-belah selepas makan pada awal pagi Sabtu.

 

Dia menunggu di dalam kereta manakala dua rakan lelakinya, berumur 28 dan 30 tahun, menunggu trak tunda di luar.

 

Kira-kira pukul 3 pagi, empat lelaki yang memakai topi keledar muncul, mengancam mereka dengan senjata Taser dan menghayunkan pengunci motosikal.

 

“Semuanya berlaku dengan pantas. Kami mengosongkan poket kami dan memberikan telefon dan dompet kami kepada mereka.

 

“Saya berjaya menyembunyikan telefon bimbit saya di bawah tempat duduk kereta,” kata Fiqa, sambil menambah dia berlari keluar dari kereta apabila seorang perompak cuba untuk mencederakan dirinya.

 

“Terdapat kereta yang lalu-lalang dan melihat kami meminta bantuan. Tetapi mereka hanya melihat dan terus memandu.

 

“Kawan saya berteriak kepada tiga atau empat kereta untuk bantuan tetapi tidak ada yang datang menolong,” katanya, sambil menambah salah seorang daripada perompak menggunakan pengunci motosikal untuk memukul rakannya di kepala dan tangan kiri.

 

Dia berkata suspek tiba-tiba takut dan beredar dari tempat kejadian selepas terdapat sebuah kereta yang akhirnya membuat pusingan-U untuk membantu mereka.

 

Fiqa berkata rakannya memerlukan 17 jahitan.

 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Komisioner Azmi Abu Kassim mengesahkan laporan, dengan mengatakan bahawa polis sedang cuba mengenal pasti suspek. – Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.