Terengganu Sedia Ikut Jejak Kelantan Laksana Hudud

KUALA TERENGGANU – Terengganu sedia mengikut jejak langkah Kelantan melaksanakan undang-undang hudud.

 

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, proses ke arah itu akan diperhalusi termasuk melihat bagaimana ia dilaksanakan di Kelantan.

 

“Jika masyarakat faham dan bersedia, Terengganu tiada masalah untuk melaksanakannya,” katanya.

 

Dun Terengganu telahpun meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu pada 2002.

 

Menurut Ahmad Razif, enakmen itu akan diperhalusi dan pelaksanaannya dibuat secara beransur-ansur.

 

“Biar masyarakat faham dahulu dan kita tidak menimbulkan kontroversi, insya-ALLAH. Penerimaan bukan Islam juga perlu diberikan perhatian supaya perlaksanaan dapat dibuat dengan lancar,” katanya.

 

Ahmad Razif berkata, buat masa ini, kerajaan negeri mahu memberi fokus pada integriti iaitu daripada aspek ingin membawa Islamisasi di Terengganu.

 

“Integriti juga konsep Islam, kita berikan penekanan pada perkara ini dahulu,” katanya.

 

Menurutnya, pendekatan yang diamalkan Terengganu kini adalah tarbiah iaitu mendidik masyarakat ke arah memperkukuhkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan.

 

“Sebab itu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) diminta melaksanakan dari segi konsep tarbiah dan mendidik, iaitu konsep memberi nasihat terlebih dahulu sehingga rakyat faham.

 

Begitu juga dengan pelaksanaan hukum di Terengganu, apa yang perlu dilakukan ialah secara berhemah dan berperingkat supaya rakyat lebih faham kerana jika tidak, ia akan menimbulkan banyak kontroversi serta rasa tidak puas hati,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah dan menyokong perlaksanaan hudud di Kelantan, setelah lebih 20 tahun undang-undang itu diluluskan pada 1993.

 

Ahmad Razif berkata, sebagaimana wakil rakyat Umno Kelantan menyokong pelaksanaan undang-undang Islam itu, beliau mengharapkan Pas akan turut mendapatkan sokongan di peringkat parlimen kelak.

 

“Kita sedia maklum, kalau mengharapkan sokongan ahli Parlimen Umno sahaja, tidak cukup. Jadi dia (Pas) kena pastikan PR turut menyokong. Kalau PR sendiri tidak menyokong, saya tidak tahulah.

 

“Jadi saya harapkan pihak Pas tarbiahkan dahulu rakan-rakan PR supaya mereka menyokong, seperti Umno menyokong pelaksanaan hudud,” katanya selepas pelancaran Majlis Perundingan Integriti Negeri Terengganu (MPINT) di Wisma Darul Iman, semalam. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.