Sokong Hudud Tapi Mohon Enakmen Disemak Lagi – Dr Maza

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan pendirian menyokong pelaksanaan undang-undang hudud yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, baru-baru ini.

 

Bagaimanapun, tegas Dr Asri, beliau memohon agar pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) itu disemak semula oleh pakar-pakar perundangan Islam dan maqasid as-Syariah di pelbagai peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

 

Ini kerana jelasnya, semakan terhadap pelaksanaan hukum itu perlu agar kegagalan pelaksanaannya seperti yang pernah berlaku di Libya, Sudan, Nigeria dan Pakistan tidak berulang di Malaysia yang akhirnya boleh memberi imej salah bahawa syariat Islam itu tidak sesuai.

 

“Kita juga hendaklah mengelakkan gambaran hudud yang tidak kondusif dan seakan menggambarkan kekejaman undang-undang yang telah berlaku bawah pentadbiran Taliban, cara hudud ISIS, Bokoharam dan lain-lain.

 

“Versi hudud mereka tidak memenuhi maqasid syariah yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah.

 

“Umat Islam menyokong hasrat Kelantan. Dalam masa yang sama, ruang waktu untuk pandangan kesarjanaan di pelbagai peringkat hendaklah dibuka,” katanya menerusi catatan terbaharu di laman sosial Facebooknya, hari ini.

 

Dr Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza, dalam entri tersebut turut mengakui bahawa ramai pihak yang melontarkan pertanyaan kepadanya mengenai pendirian berhubung enakmen hudud yang dibentang di negeri Kelantan.

 

Menjawab mengenai persoalan tersebut, beliau berkata: “Hudud itu asasnya ada dalam al-Quran dan as-Sunnah. Maka, seorang muslim tidak boleh menentang hudud yang terdapat dalam kedua sumber agung tersebut.”

 

Malah katanya, meskipun tidak boleh membantah asas hudud dalam Islam tetapi umat Islam boleh mempunyai perbezaan pendapat, tidak bersetuju ataupun menolak pemilihan pandangan-pandangan sarjana dalam penetapan hukuman bagi sesuatu enakmen.

 

Dr Maza juga turut mengambarkan bahawa pelaksanaan hukum hudud itu sebagai satu ‘pintu berat’ tetapi kesan daripada pelaksanaannya adalah cukup indah.

 

“Maka, kita memerlukan rumah yang sesuai untuk memasangnya.

 

“Jika dipasang di rumah yang buruk, mungkin pintu indah tapi berat berat itu boleh meruntuhkan rumah.

 

“Namun, jika dipasang di rumah yang indah juga, maka keindahan pintu itu akan terserlah dan keselamatannya akan zahir,” jelasnya.

 

Sebelum ini, Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau dikenali hukum hudud, qisas dan takzir, tertangguh pelaksanaannya lebih 20 tahun selepas ia diluluskan DUN Kelantan pada 1993 kerana kekangan dari segi perundangan.

 

Namun, pada Khamis Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan rang tersebut yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri ini. – MalaysiaDigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.