Soal Bertunang, Patut Lelaki Mulakan Dulu – Nelydia Senrose

KUALA LUMPUR – Pelakon Nelydia Senrose yang baharu sahaja memenangi anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015 kategori Hero & Heroin Hadiah Drama Pilihan bersama Sharnaaz Ahmad untuk drama Setitis Kasih Dharmia, kini semakin mencuri tumpuan.

 

Bukan sahaja cerita mengenai kemenangan di dalam kerjaya seni, sisi peribadinya dengan cinta hati, Qi Razali turut diperkatakan.

 

Bertebaran cerita bahawa Qi kononnya akan menghantar rombongan meminang tidak lama lagi dengan Nelydia kian dihambat perasaan berbelah bahagi.

 

“Saya tahu ramai yang bertanyakan hal ini. Tapi saya di pihak perempuan, tak boleh komen apa-apa. Saya kena kunci mulut kerana hal ini membabitkan perasaan keluarga sendiri dan keluarga dia.

 

“Tapi sejujurnya kalau benda baik, saya pasti berkongsi, cuma ia belum terjadi lagi. Ada rezeki dan jodoh kami ke fasa seterusnya, Insya-Allah. Cuma apabila tersebarnya cerita nak bertunang, berita itu terlalu digembar-gemburkan tanpa kepastian yang sahih.

 

“Memang setakat ini tak ada pengesahan lagi akan terjadi perkara berkenaan. Apa perasaan saya dan Qi, apabila cerita ini ditokok tambah.

 

“Tapi saya tak boleh cakap apa kerana ini semua asam garam dunia hiburan,” kata pemenang Bintang Filem Meletop Anugerah Meletop ERA 2015 itu.

 

Bagi Nelydia, sebaiknya jika ada perancangan untuk bertunang, pihak lelaki lebih patut mengambil langkah seterusnya.

 

“Lebih baik pihak lelaki (Qi) datang jumpa keluarga saya. Itu yang sebaiknya,” katanya.

 

Tambah Nelydia lagi, buat masa ini beliau dan Qi mahu fokus kepada perkara yang lebih penting dahulu terutama kerjaya masing-masing.

 

“Bukan nak cakap soal bertunang atau berkahwin itu tak penting, tapi kita dahulukan perkara diri sendiri termasuk komitmen kerja. Dia pun sekarang sibuk mengembara untuk sebuah program kembara,” katanya.

 

Dalam pada itu, Nelydia memanjat kesyukuran dengan kemenangan dua anugerah pada tahun ini pada Anugerah Meletop ERA baru-baru ini dan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015, malam kelmarin.

 

Dia tak menjangka sebenarnya kemenangan dua kategori itu berpihak kepadanya.

 

“Perasaan saya bercampur baur apabila diumumkan sebagai pemenang. Ia satu saat yang membanggakan dalam kerjaya seni saya. Ia ruang untuk saya terus memperbaiki kelemahan dan mengasah bakat lakonan.

 

“Terima kasih kepada peminat saya yang tak jemu menyokong. Sokongan anda amat saya hargai. Peminat saya menyokong tanpa memberi tekanan bahawa kemenangan itu satu kemestian.

 

“Bagi peminat saya mereka tak kisah menang atau kalah kerana apa yang penting terus menyokong saya,” katanya yang disokong Nelyamor (gelaran peminatnya).

 

Nelydia mula berlakon pada usia 13 tahun namun memperlahankannya seketika demi memberi tumpuan kepada pengajian.

 

Dia aktif semula pada usia 18 tahun dan sehinggalah kini usianya mencecah 20 tahun. – Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.