Siapa Yang Salah Gunakan Twitter? Saya Atau Mereka? – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyelar tindakan Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) yang menyeru rakyat membuat laporan bagi menyekat akaun Twitternya.

 

Menurutnya, tindakan itu dipersoalkan dan pihak berkenaan tidak perlu risau mengenai dirinya.

 

“Apa yang mereka risaukan sangat tentang saya,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

 

Khalid turut mempersoalkan dakwaan GHAH yang menyatakan beliau menyalahgunakan laman sosial itu.

 

“Siapa yang salah gunakan Twitter? Saya atau mereka,” katanya.

 

Menurutnya, tindakan akan dikenakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang dan tiada sebab untuk takut sekiranya undang-undang negara dipatuhi.

 

Tambahnya lagi, mereka yang menyalahgunakan laman sosial Twitter sepatutnya rasa takut dan tindakan akan diambil terhadap mereka.

 

“Beribu orang menggunakan twitter tetapi saya tidak ganggu mereka. Hanya yang salah gunakan laman sosial sahaja patut takut,” katanya.

 

Khalid ketika ditanya mengenai sekiranya akaun twitter KBAB51 miliknya disekat, beliau menjawab masih banyak cara yang dapat digunakan untuk memantau jenayah di laman sosial.

 

GHAH mendakwa Khalid menyalahgunakan laman sosial itu dan menganggapnya ketua twitter negara.

 

Hari ni, Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) menyeru rakyat membuat laporan kepada Twitter bagi menyekat akaun milik Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang didakwa menyalahgunakan laman sosial itu.

 

Khalid yang menggunakan nama KBAB51 dalam akaun itu didakwa sebagai ketua twitter negara berbanding tugas utama sebagai Ketua Polis Negara yang sepatutnya menjaga keamanan negara.

 

Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah berkata, KPN menganggap dirinya sebagai pengadil dalam memantau status rakyat di twitter dan menahan mereka yang meluahkan perasaan dalam laman sosial itu.

 

“Laman sosial adalah tempat untuk bersuara namun KPN menggunakan twitter untuk menyekat hak bersuara dan menahan individu terutamanya ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai ramai pengikut.

 

“Perlu diingatkan kritikan dan persoalan yang diluahkan dalam laman sosial bukanlah jenayah. Itu adalah hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya ketika sidang media di Pusat Komas, di sini.

 

Maria berkata, bagi menyekat Twitter KPN terus disalahgunakan, dia menyeru rakyat untuk membuat laporan supaya akses KBAB51 dapat disekat sama seperti yang berlaku terhadap twitter kumpulan militan IS. – The Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.