Pemandu Teksi Tetap Naik Tambang

KUALA LUMPUR – Pemandu teksi akan tetap menggunakan kadar tambang baharu pengangkutan awam seperti yang telah diumumkan baru-baru ini sehingga surat rasmi berhubung penangguhannya dikeluarkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

 

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Berwawasan Putrajaya dan Selangor, Saari Omar berkata, perkara itu akan diteruskan memandangkan 50 peratus daripada pemandu teksi telah menukar sistem meter teksi mengikut kadar tambang baharu.

 

Katanya, penukaran sistem meter baharu itu menyebabkan seorang pemandu teksi mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM100 yang boleh menyebabkan kerugian sekiranya perancangan awal ditangguhkan.

 

“Kami masih menunggu keputusan secara rasmi daripada SPAD berkenaan dengan isu tersebut. Setakat hari ini, separuh daripada pemandu teksi yang telah menukar meter akan mengenakan caj baharu kepada pengguna.

 

“Siapa yang akan bayar ganti rugi kepada pemandu teksi yang telah menukar meter? Saya mengharapkan SPAD dan persatuan teksi dapat mengadakan satu mesyuarat untuk berbincang tentang masalah ini di samping memberi penjelasan yang sepatutnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan Kabinet bersetuju menangguhkan kadar tambang baharu pengangkutan awam yang diumumkan SPAD kerana kenaikan itu menyusahkan rakyat yang kini sedia terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Kabinet kelmarin yang berpendapat kenaikan tambang pengangkutan awam itu tidak sesuai pada masa sekarang.

 

Tambah Saari, sebarang tindakan yang seterusnya akan dilakukan bergantung kepada keputusan yang diambil oleh kedua-dua belah pihak.

 

“Walau bagaimanapun, teksi yang masih belum menukar sistem meter akan kekal dengan harga lama sehingga mendapat arahan yang selanjutnya daripada pihak yang berkenaan,” katanya.

 

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Semenanjung Malaysia (Pembawa), Tajuddin Mohd. Yunus berkata, kadar tambang bas masih lagi menggunakan harga lama dan tidak berlaku sebarang peningkatan.

 

“Pihak kami hanya menunggu keputusan rasmi daripada SPAD sebelum membuat tindakan yang selanjutnya,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.