HTC Lancar HTC One M9

Bagi merancakkan lagi pameran Mobile World Congress (MWC) 2015 yang berlangsung di Barcelona pada 2 hingga 5 Mac lalu, pengeluar telefon pintar HTC melancarkan HTC One M9.

 

Telefon pintar berkenaan hadir dengan reka bentuk yang lebih efektif, lapisan kalis calar serta gelas sapphire pada lensa kamera. Memiliki DNA seperti M8, M9 dengan reka bentuk yang lebih mini­malistik, ringan serta lebih kecil.

 

Lebih menarik, butang kuasa bagi One M9 juga diletakkan pada lokasi baru manakala butang bunyi juga diberikan penambahbaikan selain pilihan warna baharu dan menarik. One M9 boleh didapati dalam warna perak bersalut lapisan emas ros pada rangka, kelabu, emas penuh dan merah jambu serta campuran emas.

 

Spesifikasi One M9 masih menggunakan skrin paparan 1080p berukuran 5.0 inci yang sama seperti pada M8 tetapi sedikit kemas dari segi teknologi dan penghasilan warna. Walaupun menghadapi masalah pemanasan melampau, HTC membuat keputusan untuk menggunakan pemproses Snapdragon 810 dan disertakan dengan 3GB RAM.

 

Spesifikasi utama yang lain ialah memori simpanan dalaman 32GB, LTE Cat.6 atau Cat.9 (mengikut benua) dengan sokongan 21 band LTE, GPS + GLONASS, Bluetooth 4.1, NFC dan Wi-Fi.

 

Bateri yang disertakan pada HTC One M9 ini mempunyai kapasiti 2,840mAh dan menyokong ciri pengecasan Fast Charging. Ciri yang paling menarik perhatian pada M9 ialah pembesar suara BoomSound yang kini hadir dengan teknologi Dolby Sound.

 

Selain itu, perubahan ketara antara M8 dan M9 adalah pada bahagian kamera, HTC melengkapkan kamera 20MP yang diperbuat oleh Toshiba. Kamera ini juga disertakan dengan lampu dual-LED dan boleh merakam video 4K namun tidak mempunyai optik pengstabilan imej.

 

Kamera UltraPixel 4MP yang diletakkan pada bahagian belakang One M7 dan One M8 kini diletakkan sebagai kamera selfie namun unit kamera ini tidak mempunyai fungsi pengfokusan auto. HTC One M9 hadir dengan sistem operasi Android 5.0 Lollipop dengan UI HTC Sense 7 yang hadir dengan banyak ciri dan fungsi baru.

 

HTC One M9 akan mula memasuki pasaran antarabangsa sekitar penghujung bulan Mac namun buat masa ini tiada sebarang harga diumumkan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.