20 Lelaki ‘Angkat Bas’, Selamatkan Mangsa

HENAN – CHINA. Kira-kira 20 orang awam bekerjasama mengangkat sebuah bas untuk membebaskan seorang lelaki yang dilapor terperangkap di bawah bas tersebut, lapor portal berita Metro.co.uk semalam.

 

Dalam kejadian pada Jumaat lepas, mangsa, Chang Suibin yang dikatakan terperangkap di bawah bas dapat melepaskan diri dengan bantuan orang ramai dalam masa kurang dari tiga minit.

 

Menerusi satu klip video yang berdurasi satu minit 41 saat, paparan klip tersebut menunjukkan bagaimana orang awam dan penumpang bas bekerjasama menolak sisi bas tersebut untuk membolehkan Suibin melepaskan diri.

 

Pegawai Polis Trafik, Tang Xiaoqi berkata, terdapat sebilangan orang awam termasuk pejalan kaki dan penumpang bas sedang menunggu lampu trafik semasa kejadian tersebut berlaku.

 

“Mereka ternampak kejadian tersebut dan terus datang membantu. Pada mulanya kami gagal untuk tolak dan angkat bas tersebut, kemudian lebih ramai (orang awam) datang membantu.

 

“Ada yang mengangkat bas, ada juga yang cuba menarik dan mengeluarkan mangsa. Akhirnya kami semua berjaya,” katanya seperti yang dipetik menerusi portal tersebut.

 

Setelah drama tersebut berakhir, mangsa mengucapkan penghargaan kepada orang ramai yang membantunya.

 

“Orang-orang baik boleh dijumpai di mana-mana dalam masyarakat kita,” katanya.

 

Susulan daripada kemalangan tersebut, mangsa dikatakan mengalami keretakan di bahagian pelvis. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.