Isu Janji: Calon PH Dakwa Tak Terkesan Dengan Sindiran Netizen

HULU LANGAT – Calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, tidak terkesan dengan ‘troll’ netizen mengenai kesilapan kata-katanya yang berjanji menyelesaikan masalah penduduk, sehari selepas menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Sebaliknya, sindiran serta kritikan netizen itu membakar semangat Muhammad Aiman, 30, untuk lebih bekerja keras menyantuni penduduk Semenyih dan mengangkat suara mereka sekiranya menang pada 2 Mac ini.

Katanya, kesilapannya ketika berucap sewaktu berkempen di Batu 26, Beranang, Khamis lalu, bukan janji kosong semata-mata, sebaliknya ia menggambarkan kesungguhannya untuk menyelesaikan masalah penduduk Semenyih.

“Saya tidak terkesan (dengan sindiran netizen). Itu adalah janji saya untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh demi penduduk Semenyih.

“Itu juga nak menunjukkan semangat saya. Apabila saya menang nanti, hari seterusnya saya akan turun bantu rakyat, tolong mereka selesaikan masalah di Semenyih. Itu maksud janji saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra bersama Penduduk Taman Pelangi, Semenyih dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Khamis lalu, Muhammad Aiman dalam ucapannya berjanji jika PH menang PRK DUN Semenyih pada 2 Mac ini, keesokannya juga masalah penduduk akan diselesaikan.

Semalam, Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika diminta mengulas mengenai janji itu berkata, Muhammad Aiman terlepas cakap kerana begitu bersemangat dan ghairah untuk membantu rakyat Semenyih.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa PKR dan DAP tidak membantu kempennya, Muhammad Aiman menafikan perkara itu.

“Mereka (PKR dan DAP) banyak sangat membantu. Apabila saya turun ke Kampung Baru Semenyih di kawasan penduduk Cina, jentera DAP yang membantu saya,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.