Video: Sultan Johor Sifatkan Tun Mahathir Nyanyuk Kerana Sering Terlupa

KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menggambarkan bahawa pilihanraya umum ke-14 (PRU-14) mungkin akan diadakan tidak lama lagi apabila ramai pemimpin politik dilihat mula memainkan pelbagai isu untuk menarik perhatian rakyat.

 

Baginda bagaimanapun menggesa agar ahli politik di luar Johor agar berhenti masuk campur dalam urusan di  negeri tersebut kerana ia mengelirukan rakyat dan memecah-belahkan perpaduan bangsa Johor.

 

 

“Rakyat di negeri johor telah menikmati hidup yang selesa, aman dan damai, sehingga ke hari ini. Orang luar tidak perlu hendak tunjuk pandai atau mengajar apa yang patut di buat.

 

“Rakyat johor tidak akan terpengaruh dengan tipu-helah orang luar yang cuba menakut-nakutkan rakyat dengan cerita-cerita dongeng yang di reka-reka,” titah baginda ketika merasmikan Galeri Darurat Bukit Kepong di Pagoh, sebentar tadi.

 

Sultan Johor turut menyifatkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sedikit nyanyuk kerana sering menunjukkan sifat pelupanya.

 

“Mungkin orang luar ini telah lupa yang zamannya telah berlalu, dahulu dia sering menyindir orang Melayu sebagai bangsa yang mudah lupa, namun hari ini dia sendiri menunjukkan sifat pelupa-nya.

 

“Dulu dia kata pembangkang itu musuh ketat, tapi sekarang sudah boleh duduk semeja dan menjadi kawan rapat.
Dulu dia kata media barat suka buat cerita, tapi sekarang, cerita media barat dikatanya fakta. Jika dia bukan pelupa mungkit ada sedikit nyanyuk akibat faktor usia,” tegas Baginda lagi.

 

Sultan Johor turut menasihati Dr Mahathir agar berhenti mencari salah orang lain dengan membangkitkan pelbagai isu sebaliknya memperbetulkan kepincangan diri sendiri.

 

Terdahulu Sultan Ibrahim tiba kira-kira pukul 10 pagi sambil diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, anakanda-anakanda baginda dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

 

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dan kenamaan-kenamaan lain.

 

Sultan Johor turut berkenan menyaksikan persembahan pentomen Bukit Kepong sebelum diakhiri dengan lawatan ke galeri berkenaan.

 

Pembinaan Galeri Darurat Bukit Kepong yang siap pada tahun lalu menelan kos RM11.5 juta yang berkonsepkan ruang pameran bagi menghargai jasa dan pengorbanan 25 anggota polis, keluarga dan orang awam yang mempertahankan balai polis tersebut dalam serangan pengganas komunis pada 23 Februari 1950. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.