Sam, Syatilla Rakan Kongsi – Elle Zada

KUALA LUMPUR: Butik Elle Zada menyifatkan pasangan pelakon, Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin, tidak sepatutnya mempersoalkan wang yang belum diterima bagi kerjasama projek baju raya, tahun lalu.

 

Pengasas butik berkenaan, Elliyin Razif, 29, berkata berdasarkan persetujuan, pasangan itu bukan menjadi duta semata-mata, tetapi turut bertindak sebagai rakan kongsi.

 

“Kami bersetuju menjadi rakan kongsi untuk projek raya Elle Zada x Sam Syatilla 2016 dan mereka bukan duta semata-mata.

 

“Jadi, pembahagian untung dan rugi adalah secara sama rata. Tidak timbul persoalan mereka tidak terima duit kerana projek mengalami kerugian apabila berlakunya krisis, tempoh hari.

 

“Sepatutnya kami yang perlu menuntut duit Sam dan Syatilla bagi menampung kerugian, mengikut pecahan 50-50.

 

Namun, kami buat pilihan untuk menanggung semua kerugian itu kerana tidak mahu membebankan mereka dalam proses terbabit,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengatakan Sam dan Syatilla ingin mengambil tindakan saman terhadap butik pakaian itu selepas gagal melunaskan bayaran kepada mereka bagi projek baju raya Elle Zada x Sam Syatilla 2016.

 

Sementara itu, Elliyin berkata, sehingga kini pihaknya gagal untuk menghubungi pasangan selebriti berkenaan bagi menyelesaikan isu terbabit secara baik.

 

Tambahnya, pasangan berkenaan bertindak mendiamkan diri biarpun sudah beberapa kali cubaan menghubungi mereka dilakukan.

 

“Pihak kami sudah beberapa kali menghubungi mereka sejak isu ini timbul dan sehingga kini, mereka hanya memilih untuk mendiamkan diri.

 

“Namun, kami bersedia untuk menjawab sebarang saman yang bakal difailkan oleh mereka berkaitan perjanjian dan persetujuan itu kerana kami tidak pernah menyembunyikan apa-apa,” ujarnya.

 

Elliyin menyifatkan apa yang berlaku sebagai pengajaran buat mereka dan mempunyai hikmah di sebaliknya.

 

Butik pakaian Elle Zada mencetuskan kontroversi tahun lalu apabila dikatakan gagal menyiapkan tempahan baju raya edisi istimewa Sam dan Syatilla sempena Hari Raya Aidilfitri.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.