Pesawat PM Israel Elak Terbang Di Wilayah Malaysia Ketika Ke Singapura

KUALA LUMPUR – Pesawat rasmi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dikesan mengelak dari memasuki ruang udara wilayah Malaysia dan terpaksa menggunakan ruang udara antarabangsa ketika penerbangan menuju Singapura pada 19 Februari lepas.

 

Data penjejakan penerbangan FlightRadar24 menunjukkan pesawat berkenaan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion Tel Aviv mengambil laluan penerbangan ke Mumbai diikuti Bangkok dan meneruskan perjalanan ke Singapura tanpa melalui wilayah Malaysia.

 

Kebiasaannya, pesawat yang menggunakan laluan penerbangan dari Bangkok, Thailand akan memasuki wilayah Malaysia meliputi ruang udara negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk menjimatkan masa penerbangan ke Singapura.

 

Pesawat berkenaan sebaliknya menggunakan ruang udara antarabangsa Laut China Selatan berhampiran Terengganu dan turut mengelak dari melalui ruang udara Pulau Tioman untuk ke Lapangan Terbang Changi, Singapura.

 

Terdahulu, viral di media sosial larangan pemerintah Indonesia yang tidak membenarkan pesawat dinaiki Benjamin Netanyahu melalui wilayahnya dari Singapura untuk ke Sydney pada 21 Februari lepas.

 

Susulan larangan tersebut memaksa pesawat berkenaan menempuh perjalanan jauh melalui ruang udara antarabangsa di antara Singapura, Malaysia, Brunei dan Vietnam sebelum melintasi ruang udara Filipina dan Papua New Guinea untuk ke Sydney.

 

Malaysia, Indonesia dan Brunei adalah antara negara Islam yang mendukung perjuangan rakyat Palestin dalam menentang penjajahan Israel sejak 1948.

 

Malaysia yang tidak menjalin hubungan diplomatik dengan regim Yahudi itu turut menjadi satu-satunya negara di dunia yang secara rasmi melarang rakyatnya memasuki Israel menerusi larangan pada passport antarabangsa. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.