Menteri Beri Jaminan Siasat Kes Kereta Sewa Guan Eng

KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memberi jaminan akan menyiasat dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengenai kualiti kereta yang disewanya daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur untuk ke Istana Negara bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

 

Menurut beliau, kementerian akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu dalam masa terdekat ini.

 

“Buat masa ini saya minta maaf, saya tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya.

 

Guan Eng dalam akaun laman sosial Twitter miliknya memuat naik tiga keping gambar Proton Perdana berwarna hitam dalam keadaan tidak sempurna.

 

Gambar yang dimuat naik pada pukul 6.21 petang, Selasa lalu memaparkan pintu itu terpaksa diletakkan dengan pita pelekat buat sementara waktu bagi mengelakkan terbuka ketika perjalanan.

 

Guan Eng memberitahu, pintu kenderaan di bahagian penumpang belakang tidak boleh ditutup dan terpaksa dipegang dengan tangan.

 

Dalam tweet berikutnya, Guan Eng mengeluh kerana terpaksa hadir ke istana dengan kenderaan sebegitu.

 

“Harap dapat kereta JKR lebih selamat pada masa akan datang,” katanya menerusi akaun Twitternya itu.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.