MB Johor Dulu Angkuh dan Sombong, Kata Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Sultan Johor hari ini membidas keras dua menteri besarnya sebelum ini yang didakwa angkuh, sombong dan hanya mengikut telunjuk kerajaan pusat.

 

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah demikian ketika mengulas hubungan istana dan menteri besar untuk memajukan negeri itu.

 

“Kejayaan yang dicapai ini adalah kerana adanya hubungan yang baik antara saya dengan menteri besar sekarang, bukan seperti dua menteri besar yang dahulu, yang angkuh dan sombong dan hanya mengikut telunjuk kerajaan persekutuan,” titah baginda.

 

Pada hari ini, titah sultan lagi, pembangunan negeri amat berbeza jika dibandingkan dengan 10 atau 20 tahun lalu.

 

“Kalau dulu kerajaan negeri sampai tiada wang untuk bayar gaji kakitangan, tapi hari ini kerajaan ada lebihan hasil berbilion ringgit,” titah Sultan Ibrahim.

 

Dua menteri besar sebelum ini ialah Datuk Ghani Othman dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Titah itu juga disampaikan ketika merasmikan Galeri Darurat Bukit Kepong di Muar, dalam kawasan parlimen Pagoh, yang merupakan kubu kuat Muhyiddin.

 

Sementara itu, baginda berharap supaya rakyat jelata bersama-samanya mempertahankan Johor dan tidak menoleh ke belakang.

 

“Dari kecil lagi saya telah di didik untuk menjaga negeri Johor. Saya tahu apa yang terbaik untuk negeri saya. Tak akan saya hendak aniaya rakyat saya sendiri,” titahnya. – Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.