Institusi Bioteknologi Korea Utara Didakwa Terlibat Bunuh Jong Nam

SEOUL – Sebuah institut bioteknologi Korea Utara didakwa terbabit dalam pembunuhan abang pemimpin Kim Jong-un, Jong-nam, di Malaysia, minggu lalu.

 

Perkara itu dinyatakan Choi Sung-young, mewakili kumpulan Korea Selatan. Keluarga Sung-young diculik ke Korea Utara berdekad lalu.

 

“Kami mendapat maklumat, Jong-un mengeluarkan satu arahan pada Disember 2014 untuk menyingkirkan abangnya, Jong-nam,” katanya.

 

Sung-young berkata, unit tentera Korea Utara 810, juga dikenali sebagai institut bioteknologi yang bertanggungjawab membangunkan bahan kimia pertanian, menjadi dalang di sebalik pembunuhan Jong-nam.

 

Beliau juga mendakwa, institut itu menjalankan ujian percubaan ke atas kira-kira 20 pesalah politik, dalam persediaan pembunuhan Jong-nam. Jong-nam, anak sulung mendiang pemimpin Korea Utara, Jong-il, meninggal dunia 13 Februari lalu selepas didakwa diserang ejen Korea Utara menggunakan racun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2).

 

Beliau sering mengkritik kawalan dinasti keluarganya di Pyongyang. Sung-young bagaimanapun tidak menyatakan bagaimana beliau memperoleh maklumat itu. Dakwaannya juga tidak dapat disahkan.

 

Ia adalah kali pertama sebuah institut di Korea Utara didakwa terbabit dalam pembunuhan itu.

 

Agensi perisikan atasan Korea Selatan minggu lalu berkata, Biro Pengintipan Awam dan Kementerian Keselamatan Negara itu mungkin bertanggungjawab dalam serangan terbabit. – The Korea Herald/BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.