Husam Sengaja Cari Publisiti

KOTA BHARU – Tindakan Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa hadir secara tiba-tiba pada ceramah Pas Isnin lalu disifatkan sengaja mencari publisiti.

 

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara tersebut sepatutnya tidak berlaku memandangkan sebelum ini Husam telah diberikan tempoh bagi menjelaskan isu yang dibangkitkan.

 

“Bagi saya (datang majlis orang) dengan begitu tidak sesuai, dia hadir untuk tujuan apa pun kita tidak tahu. Bagi saya apa yang dilakukan Husam itu adalah bukan cara yang betul.

 
“Kalau kita tafsir dalam sudut yang negatif dia (Husam) mahu cari publisiti,” katanya kepada media di pejabatnya semalam.

 

Mohd Amar yang menyelar tindakan Adun Salor itu juga menjelaskan sepatutnya Husam menggunakan peluang diberikan sebelum ini untuk membahaskan segala pandangan beliau tentang isu tersebut dan bukannya ‘menerjah’ ceramah pada malam kelmarin.

 

“Diibaratkan macam orang jemput untuk hadiri kenduri lah, kita kena pergi pada hari kenduri. Kalau kita pergi hari lain ia akan menimbulkan masalah,” katanya.

 

Dalam ceramah Husam Lari Debat Baiah yang diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV pada Isnin lalu, suasana kecoh apabila bekas Naib Presiden Pas itu tiba-tiba muncul di majlis anjuran Pemuda Pas Kelantan itu.

 

Husam yang tiba jam 11 malam itu berada sepentas dengan pimpinan Pas setelah dipelawa Yang Dipertua Pas Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh.

 

Keadaan kecoh seketika apabila ada di antara hadirin dalam ceramah itu mencabar Husam untuk berdebat dan penyokong kedua-dua parti saling mengeluarkan kata-kata cemuhan.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.