Gandingan Mantap Firman, Ayai

TREND merakamkan lagu duet dalam kalangan penyanyi tempatan sedia ada ibarat memberi ‘warna’ dalam industri seni tempatan.

 

Masakan tidak, beberapa lagu duet yang dibawakan artis popular tanah air seperti Dirgahayu (Datuk Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir) dan Terimaku Seadanya (Hafiz Suip dan Misha Omar) berjaya menambat halwa telinga pendengar.

 

Lalu, program Duo Star yang bersiaran bulan lalu memberi refleksi terhadap senario ini. Ayai dan Firman misalnya, tampil dengan single duet pertama mereka berjudul Yakin Aku.

 
Lagu ciptaan Awi Rafael dan Yasin Sulaiman dilihat sebagai salah satu strategi pasangan duo itu menyemarakkan dunia nyanyian tempatan.

 

Menyifatkan Yakin Aku sebagai lagu duet terbaik, mereka optimis lagu ini dapat diterima pendengar.

 

Bagi Firman, Yakin Aku memberi sisi yang berbeza dalam kerjaya nyanyiannya, selepas muncul juara program Akademi Fantasia 2014 lalu.

 

“Lagu ini sedikit berbeza kerana berkisarkan mengenai keyakinan dan semangat. Tajuknya sendiri sudah menggambarkan apa yang terkandung di dalam liriknya.

 

“Kalau kita lakukan sesuatu, sudah pasti kita perlu ada keyakinan dan semangat untuk mendapatkan apa yang dicita-citakan,” katanya yang mengakui kolaborasinya bersama rakan artis senior sedikit sebanyak memberi banyak pengalaman berguna.

 

Klip video

 

Mengakui tidak begitu sukar merakamkan lagu tersebut kerana sudah mendapat chemistry dengan rakan duetnya dalam program Duo Star, Firman tetap menganggap bahawa kerjasama dalam pembikinan Yakin Aku adalah satu pengalaman berharga yang tidak akan dilupakan.

 

“Siapa yang tidak mengenali kredibiliti Yasin, Awi dan Ayai dalam dunia seni. Mereka punya bakat dan kelebihan yang diakui ramai.

 

Jadi sebagai artis junior, sudah pasti saya rasa beruntung kerana bukan suatu yang mudah untuk mendapat sentuhan ‘orang lama’.

 

“Jadi, kerjasama ini saya kira sebagai satu titik tolak buat saya memberikan yang terbaik. Bukan hanya untuk lagu duet ini, tetapi juga untuk Yakin Aku,” jelas bintang kelahiran Tawau, Sabah ini panjang lebar.

 

Ditanya adakah lagu tersebut bakal disusuli dengan muzik videonya sendiri, Firman mengakui sudah pun berbincang perkara itu dengan pihak pengurusan.

 

“Perbincangan sudah ada. Insya-ALLAH andai sambutan yang diterima terhadap lagu ini baik, sudah pasti ia akan lebih ‘boom’ jika ada muzik videonya sendiri,” ujarnya optimis.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.