China Kekal ‘Berkecuali’ Kes Bunuh Jong Nam

SEOUL –  China tetap enggan menyatakan pendirian terhadap kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Malaysia minggu lalu, walaupun kritikan antarabangsa kini tertumpu terhadap Pyongyang.

 

Setakat ini, Kerajaan China berkata, Beijing akan memantau rapat situasi itu tanpa memberikan komen mengenai kaitan antara pembunuhan itu dengan pemimpin Korea Utara.

 

Beijing juga masih berdiam berhubung tuduhan Jong-nam dan keluarganya yang tinggal di Macau mendapat perlindungan kerajaan republik itu.

 

Malah, rangkaian media milik kerajaan seperti China Central Television dan Xinhua News Agency tidak memberikan laporan lengkap perkembangan siasatan oleh polis Malaysia, termasuk mengenai diplomat Korea Utara yang dituduh sebagai suspek kes itu.

 

Ia berbeza dengan reaksi media sosial di Chian dan lain-lain komuniti dalam talian, apabila penggunanya meluahkan kemarahan terhadap kekejaman serta kezaliman pemimpin Korea Utara.

 

Bagaimanapun, penganalisis berpendapat pendirian kerajaan China itu dilihat bagi memelihara hubungan dengan Korea Utara, sekali gus bagi menghadapi persaingan antara Beijing-Washington di rantau itu.

 

“Beijing berasa pengakuan memberikan perlindungan terhadap Jong-nam akan membebankannya dan menyukarkan hubungan mereka dengan Pyongyang, walaupun Jong-nam dibunuh di luar China.

 

“Beijing juga tidak mahu melihat mereka tersepit di tengah pertikaian dan sekali lagi menjadi tumpuan antarabangsa,” kata pensyarah universiti (pengajian Korea Utara), Profesor Yang Moo-jin.

 

Pandangan itu turut dikongsi profesor di Akademi Diplomatik Kebangsaan Korea, Kim Han-kwon.

 

“Bagi China, tarikan utama hubungan dengan Korea Utara adalah bagi memastikan Pyongyang kekal sebagai zon penampan bagi menghadapi persaingan dengan Amerika Syarikat.

 

“Hubungan antara Beijing-Pyongyang hanya akan berubah sekiranya berlaku perubahan persaingan antara Beijing-Washington,” katanya.

 

Bagaimanapun, pakar membuat spekulasi bahawa China bakal berdepan dilema sama ada untuk bekerjasama dengan Malaysia jika pegawai polis dari negara itu tiba di Macau bagi mendapatkan sampel DNA daripada anak Jong-nam, Kim Han-sol.

 

Difahamkan, keluarga Jong-nam bimbang untuk terbang ke Malaysia bagi mengesahkan identiti mangsa.

 

Pada masa sama, Korea Utara menafikan mangsa pembunuhan itu adalah Jong-nam dan mendesak supaya mayat mendiang segera dihantar ke Pyongyang.

 

Pyongyang dijangka mengemukakan bantahan terhadap China, sekiranya proses pengesahan DNA dan identiti mangsa dimuktamadkan. “China perlu membuat satu keputusan yang sukar,” kata Moo-jin. – Agensi/BH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.