Anwar Mengaku ‘Langkah Kajang’ Untuk Rampas Jawatan MB Selangor

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini membuat pengakuan di mahkamah bahawa kempen Langkah Kajang pada 2014 adalah bagi memastikan beliau diangkat sebagai Menteri Besar Selangor.

 

Bercakap di hadapan hakim ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Anwar berkata, kempen tersebut adalah bagi memastikan penyandang jawatan Menteri Besar pada ketika itu Tan Sri Khalid Ibrahim digugurkan dari kedudukan pentadbiran kerajaan negeri.

 

“Niat awalnya untuk meletakkan kamu sebagai calon (menteri besar), tetapi tidak berlaku?” soal Shafee.

 

“Ya, tidak berlaku,” jawab Anwar.

 

Shafee kemudiannya bertanya lagi samaada Anwar bersetuju bahawa Khalid tidak bersetuju dengan Langkah Kajang yang dilancarkan untuk menyingkirkannya dari jawatan Menteri Besar.

 

“Sudah tentu, kerana dia tidak mahu lepaskan jawatan itu,” kata Anwar.

 

Ujar Anwar, penyingkiran Khalid di Selangor menerusi Langkah Kajang adalah sama seperti penyingkiran bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

 

“Ia berlaku di mana-mana, malah di Pahang dan juga Kedah, yang melibatkan Mukhriz,” jelas Penasihat PKR itu lagi.

 

Pendedahan oleh Anwar ini kata penganalisis politik Raja Petra Kamaruddin sekaligus mempersoalkan kenyataan beberapa pemimpin PKR sebelum ini bahawa punca sebenar Khalid disingkirkan adalah akibat salahguna kuasa, bukannya untuk menjadikan Anwar sebagai Menteri Besar.

 

“Rafizi (Ramli) dan Saifuddin (Nasution) memberikan sebab berbeza berkenaan mengapa Khalid perlu disingkirkan, begitu juga Tony (Pua). Nik Aziz Nik Mat menentang penyingkiran Khalid, begitu juga Abdul Hadi Awang.

 

“Mereka tidak menyokong penyingkiran Khalid kerana tiada sebab munasabah untuk berbuat sedemikian. Dalam kata lain, Nik Aziz dan Hadi tidak mempercayai sebab pelbagai yang diberikan sebagai alasan untuk menyingkirkan Khalid.

 

“Pendek kata, pemimpin PAS katakan sebab yang diberikan tidak munasabah dan tidak betul,” katanya dipetik Malaysia Today.

 

Tambah beliau, punca sebenar Khalid disingkirkan adalah disebabkan bekas Menteri Besar Selangor itu ingin meningkatkan jumlah rizab simpanan kerajaan negeri yang membawa kemarahan gabungan pembangkang (PKR, DAP dan PAS) pada waktu itu, Pakatan Rakyat.

 

Ujarnya, Pakatan Rakyat mahukan Khalid membelanjakan wang rakyat Selangor bagi tujuan kempen politik Pakatan Rakyat.

 

“Anwar mahukan Selangor memberikan setiap parti Pakatan Rakyat RM100 juta. Ini akan menjadikan jumlah keseluruhan RM300 juta, iaitu 10% nilai rizan kerajaan negeri.

 

“Khalid walaubagaimanapun, enggan dan ini menjadikan punca mengapa mereka menentang Khalid, terutama sewaktu pilihan raya umum ke-13 apabila Khalid tetap berkeras dan tidak menyalurkan wang kepada parti bagi membiayai pilihan raya,” ujarnya lagi.

 

Isu ini juga pernah diulas oleh Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadaan Menteri Besar Selangor (MBI) Faekah Husin yang menyifatkan Langkah Kajang merupakan ‘drama’ terbesar PKR.

 

“Insiden itu adalah drama paling besar apabila pejabat kerajaan negeri (pada waktu itu) menerima ‘dossier’ setebal 91 muka surat. Jika anda rajin baca 91 muka surat itu, satu pertiga daripada tuduhan itu adalah pertanyaan ‘mengapa Khalid tak nak bayar lebih kepada Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH)?’

 

“Sepatutnya jika PKR nak tuduh Khalid mengamalkan rasuah, mereka patut tanya kenapa Khalid bayar lebih. Itu baru betul ada potensi berlaku rasuah. Tapi dalam dossier itu, mereka tanya kenapa Khalid tak mahu bayar lebih,” katanya kepada Malaysian Digest.

 

Jelasnya, Langkah Kajang merangkumi usaha untuk menyalurkan wang rakyat Selangor selepas Anwar berjaya diangkat sebagai Menteri Besar.

 

“Dengan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar, mereka (PKR) tak dapat berbuat demikian. Khalid tak benarkan duit rakyat Selangor digunakan untuk kegiatan politik,” kata Faekah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.