Anggota Tentera Gagalkan Cubaan Seludup Kereta Curi

BAU – Cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup kereta curi ke negara jiran melalui jalan sempadan digagalkan oleh anggota tentera menerusi Operasi Keris Parang di Serikin, malam tadi.

 

Suspek berusia 41 tahun memandu kereta Honda Accord itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika sekatan jalan raya oleh sepasukan anggota Batalion Ke-13, Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) pada jam 8.20 malam tadi.

 

Jurucakap Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat Malaysia berkata, selepas diarah berhenti, anggota tentera memeriksa dokumen pengenalan diri lelaki terbabit, seiring prosedur keselamatan di kawasan sempadan.

 

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mengesan sesuatu yang mencurigakan pada nombor plat kereta berkenaan.

 

“Selepas mengesan nombor kereta itu diubah, anggota membuat pemeriksaan lanjut pada cukai jalan dan mendapati nombor plat yang tertera tidak sepadan.

 

“Anggota terbabit memaklumkan penemuan itu kepada pegawai atasan sebelum menahan lelaki terbabit,” katanya.

 

Beliau berkata, Pegawai Memerintah 13 RAMD Leftenan Kolonel Ismahizan Ishak, mengarahkan suspek diserahkan kepada pihak polis.

 

“Suspek dan kereta dianggar bernilai lebih RM100,000 itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk tindakan lanjut.

 

“Kereta yang menggunakan nombor pendaftaran Bintulu itu dipercayai dicuri dan cuba diseludup ke Kalimantan Barat,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.