Anak Selebriti Turut Bertanding

Menarik mengenai Anugerah MeleTOP Era (AME) 2017 ialah satu kategori baru diperkenalkan iaitu kategori Si Cilik MeleTOP yang menghimpunkan 20 anak pasangan selebriti menerusi aksi mereka yang dipaparkan di laman sosial sehingga mendapat tontonan dan jumlah pengikut yang ramai.

 

AME2017 yang akan berlangsung pada 23 April depan di Stadium Malawati, Shah Alam turut menampilkan 17 kategori sama.

 
Ketua Format dan Program Realiti Astro, Namanzee Harris berkata, kategori Si Cilik MeleTOP diperkenalkan berikutan bersesuaian dengan trend media sosial sekarang ini.

 

“Seiring dengan penjenamaan AME yang mengangkat personaliti dan karya paling sensasi, penambahan kategori Si Cilik MeleTOP dilihat mengikut trend masa kini.

 

“Keletah anak selebriti tempatan yang sering mendapat perhatian luar biasa sehingga mampu meraih populariti tidak perlu dipertikaikan lagi. Oleh itu kami yakin untuk menampilkan kategori ini,” katanya pada majlis pengumuman AME di ibu kota, kelmarin.

 

Antara si cilik popular yang dicalonkan untuk peringkat awal ini ialah anak pasangan Awal Ashaari & Scha Al Yahya iaitu Lara Alana, Yusuf Iskandar (Hairul Azreen & Hanis Zalikha), Aaisyah Dhia Rana (Rozita Che Wan & Zain Saidin), Aisy Mateen (Yana Samsudin) dan Aaira Ameena (Shukri Yahaya).

 

AME2017 juga masih mengekalkan pengacara yang sama iaitu Neelofa dan Nabil Ahmad serta seorang pengacara lagi yang akan diumumkan kemudian.

 

Selain Si Cilik MeleTOP, kategori lain ialah Lagu MeleTOP, Penyanyi MeleTOP, Group/Duo MeleTOP, Program Radio MeleTOP, Penyampai Baru Radio MeleTOP, Filem MeleTOP, Bintang Filem MeleTOP, Drama MeleTOP, Pelakon TV MeleTOP dan Program MeleTOP.

 

Turut diperkenalkan ialah kategori Hos MeleTOP, Bintang Online MeleTOP, Artis Baru MeleTOP, Artis Lawak MeleTOP, Couple MeleTOP dan Fesyen MeleTOP.

 

Dalam pada itu, Namenzee berkata, AME2017 kali ini masih mengekalkan format seperti tahun lalu apabila penyertaan dibuka kepada semua syarikat penyiaran televisyen dan radio tempatan, syarikat rakaman, penerbit serta artis.

 

“Penyertaan dinilai oleh juri jemputan khas yang berpengalaman sekali gus bertanggungjawab memilih 20 calon awal dalam setiap kategori yang dipertandingkan,” katanya.

 

Sementara itu, undian untuk peringkat pertama bagi menyenaraikan lima calon terbaik daripada 20 pencalonan awal sudah dibuka dan akan berakhir pada 19 Mac depan.

 

Manakala pusingan kedua untuk menentukan calon akhir daripada lima yang terpilih akan dibuka pada 28 Mac hingga 23 April depan.

 

Undian boleh dilakukan di laman web www.anugerahmeletopera.com.my dan ww.era.fm atau aplikasi Era dan RAKU muat naik secara prcuma di Google Playstore dan Apple Store.

 

AME 2017 akan bersiaran secara langsung pada jam 9 malam menerusi saluran Astro Ria, Ria HD dan Astro on the Go.

 

Nabil harap tiada kontroversi

 

Berkongsi pembabitannya yang kekal sebagai pengacara, Nabil berkata, dia berharap kelainan yang cuba diketengahkan kali ini tidak menimbulkan kontroversi.

 

“Seperti biasa saya dan Neelofa akan duduk berbincang mendapatkan konsep dan kelainan yang cuba ditampilkan.

 

“Kami masih dalam proses mencari konsep baik dari segi skrip dan pakaian. Semoga apa yang ditampilkan tidak menjadi isu dan andai ia menjadi isu kami terima saja dengan hati terbuka,” katanya.

 

Calon Top 20 pun sudah cukup baik

 

Bagi pelakon Nadia Shahira yang pertama kali menjadi calon awal untuk kategori Artis Baharu MeleTOP, dia tidak meletakkan sebarang harapan untuk menjadi calon lima akhir.

 

“Saya anggap ini rezeki dan menjadi calon awal 20 yang terbaik rasa sangat bersyukur kerana dalam ramai-ramai pelakon saya terpilih.

 

“Ini juga sebagai permulaan saya dalam lakonan supaya melakukan yang lebih baik lagi untuk lakonan akan datang” katanya.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.